HomeUtamaKPM hasrat jenama semula Kolej Tingkatan Enam kepada Kolej Pra Universiti KPM

KPM hasrat jenama semula Kolej Tingkatan Enam kepada Kolej Pra Universiti KPM

Read Time:2 Minute, 6 Second

BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan (KPM) berhasrat menjenamakan semula Kolej Tingkatan Enam kepada Kolej Pra Universiti KPM, kata Menterinya Fadhlina Sidek.

Beliau berkata selain memberikan imej baharu di peringkat pendidikan itu, ia adalah komitmen KPM memastikan hala tuju Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dijadikan pilihan dalam kalangan murid sekolah menyambung pelajaran mereka melalui STPM.

“Dalam penjenamaan semula sistem pendidikan Tingkatan Enam ini (akan berlaku perubahan istilah), murid kepada pelajar, guru kepada pensyarah, pengetua kepada pengarah manakala guru penolong kanan kepada timbalan pengarah,” katanya.

Fadhlina berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Pelajar Terbaik STPM, Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) dan Sijil Kecekapan Bahasa Melayu bagi Warganegara Asing (SKBMW) bagi tahun 2022, di sini hari ini.

Ketika ditemui pemberita, beliau berkata gelaran jawatan itu berbeza susulan penjenamaan semula namun gred perjawatan adalah masih sama.

Selain itu, Fadhlina berkata KPM juga memberi kuasa autonomi kepada pengetua pusat sekolah Tingkatan Enam secara serta merta, bagi melonggarkan syarat kemasukan pelajar ke peringkat pendidikan itu.

Katanya menerusi pemberian autonomi itu, pengetua diberi kebenaran menawarkan kemasukan STPM kepada murid yang berkelayakan dan memerlukan untuk menyambung pelajaran, sekiranya masih terdapat kekosongan.

“Ini juga adalah usaha KPM untuk mengurangkan isu keciciran pelajar kerana sebelum ini proses kemasukan pelajar Tingkatan Enam hanya melalui tawaran KPM. Mungkin ada yang KPM terlepas pandang pelajar yang layak untuk sambung pelajaran ke STPM.

“Jadi ini adalah ruang autonomi yang saya fikir paling efektif dan efisien untuk pengetua itu sendiri kenal pasti pelajar ini dan memberikan ruang untuk mereka sambung belajar,” katanya.

Beliau berkata KPM juga sedang berusaha meningkatkan bilangan guru cemerlang Tingkatan Enam yang kini jumlahnya adalah 0.5 peratus atau kira-kira 60 orang daripada jumlah keseluruhan guru akademik bagi peringkat pendidikan itu.

“Dalam usaha untuk meningkatkan kualiti dan profesionalisme guru akademik Tingkatan Enam, KPM akan meneliti semula instrumen dan rubrik bagi penilaian guru cemerlang Tingkatan Enam,” katanya.

Mengenai peratusan pendaftaran kemasukan Tingkatan Enam bagi tahun ini, beliau berkata sebanyak 67 peratus telah mendaftar dan mengesahkan untuk menyambung pelajaran ke peringkat pendidikan itu, setakat ini.

Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata KPM telah mengenal pasti 10,000 orang yang memohon untuk mengulangi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kesemua mereka ini terdiri dalam kalangan calon SPM yang tercicir dari pelbagai tahun. 

“Ada dalam 20,000 orang lagi sedang dikenal pasti untuk mendapatkan maklumat penuh, di mana mereka berada, ada yang bekerja dan mungkin ada yang sakit atau mengalami masalah sosial lain yang perlu kita bantu,” katanya.

Sebelum ini, KPM mengesahkan hampir 30,000 calon yang direkodkan tidak menduduki peperiksaan SPM 2022. – BERNAMA

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah hargai keprihatinan Kerajaan Persekutuan bantu tingkat keterjaminan makanan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular