HomeIsu tempatanSTPM 2022: Bentang pada dinding, menghafal sambil berjalan-jalan kunci kejayaan Nur Syahira

STPM 2022: Bentang pada dinding, menghafal sambil berjalan-jalan kunci kejayaan Nur Syahira

Read Time:1 Minute, 48 Second

KOTA KINABALU: Pelbagai cara pembelajaran yang berkesan dikongsi oleh pelajar-pelajar yang memperoleh kelulusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 yang diumumkan hari ini.

Nur Syahira Kassim,19, (gambar) pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Panglima Abdullah, Semporna mempunyai cara belajar tersendiri sehingga memperoleh kelulusan cemerlang dalam STPM 2022.

Anak kelahiran daerah Semporna itu antara pelajar cemerlang yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00, turut berkongsi rahsia kecemerlangannya.

Nur Syahira berkata, dia ada cara tersendiri untuk mengulangkaji pelajaran dengan cara membentangkan pada dinding dan menghafal sambil berjalan-jalan.

“Cara saya belajar, saya membentangkan pada dinding, saya bercakap sendiri, saya menghafal sambil berjalan-jalan, itulah cara saya menghafal sebab kalau duduk saja diam-diam dan membaca, lari fokus, jadi saya lebih suka berjalan-jalan sambil menghafal apa yang saya pelajari,” katanya ketika ditemui pemberita semasa Majlis Pengumuman Keputusan STPM tahun 2022 di Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu, di sini, hari ini.
.
Antara mata pelajaran yang diambil Nur Syahira iaitu Pengajian Am, Sejarah, Ekonomi dan Pengajian Perniagaan.

Nur Syahira yang merupakan anak ketiga daripada lapan adik beradik berkata dia ingin melanjutkan pelajarannya ke aliran perakaunan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan bercita-cita ingin menjadi akauntan.

Sementara itu, seorang lagi rakan sekolahnya Shazliana Sahid,19, turut berkongsi rahsia kejayaannya dalam memperoleh keputusan cemerlang STPM 2022.

Shazliana pelajar cemerlang STPM 2022 dari SMK Datuk Panglima Abdullah, Semporna.

Shazliana berkata, dia sentiasa memastikan setiap semester dia akan lulus semua mata pelajaran tanpa mengulang khususnya Pengajian Am, Sejarah, Ekonomi dan Pengajian Perniagaan.

“Cara saya belajar, saya lebih kepada belajar sendiri, tapi kalau ada kawan-kawan yang tidak faham saya akan cuba ajar mereka, bagi saya ia lebih mudah untuk saya memahami apa yang saya pelajari.

“Saya juga selalu mengkaji dan menjawab soalan-soalan dan kalau boleh sebelum peperiksaan saya telah siapkan semua latihan-latihan yang diberi oleh guru,” katanya.

Tambah Shazliana, paling penting dia tanamkan semangat untuk terus maju.

“Antara cabaran yang saya mesti harungi iaitu bertahan supaya tidak menjadi malas belajar, saya mesti selalu bersemangat dan rajin belajar untuk capai kejayaan yang cemerlang,” tegasnya.

Anak bongsu daripada sepuluh orang adik beradik ini berhasrat untuk melanjutkan pembelajaran ke universiti tempatan.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

PKK Biz @ Akademia catat lebih RM20,000 nilai jualan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular