HomeUtamaUsaha lebih gigih jana semula ekonomi negara ke tahap optimum - Jahid

Usaha lebih gigih jana semula ekonomi negara ke tahap optimum – Jahid

Read Time:1 Minute, 51 Second

Sandakan : Jentera pentadbiran Kerajaan perlu bekerja dengan lebih gigih dalam usaha bagi menjana semula ekonomi negara ke tahap lebih optimum sebagai langkah berjaga-jaga menangani krisis kelembapan ekonomi dunia.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim berkata, sektor Kerajaan memainkan peranan penting dalam perkara itu kerana Kerajaan tidak boleh bergantung hanya semata-mata kepada sektor swasta untuk membangun negara. 

Katanya, bagi memastikan semua pihak menjalankan peranan yang sewajarnya, penjawat awam tidak kira di peringkat manapun perlu menilai semula tugas dan tanggungjawab masing-masing dan mengorak langkah dengan lebih gigih dan tekun berdasarkan etika dan teras kerja perkhidmatan awam.   

“Teras kerja perkhidmatan awam yang saya maksudkan ini antaranya termasuklah berazam untuk meninggikan mutu perkhidmatan, bekerja dengan penuh tanggungjawab, berintegriti dan berusaha mengikis sikap mementingkan diri sendiri.

“Selain itu, berkhidmat dengan penuh muhibbah dan kemesraan, bekerja ke arah memajukan pemikiran rakyat dan pembangunan negara, bekerjasama dalam membanteras kelemahan dan musuh-musuh negara serta berpegang teguh kepada ajaran agama. 

“Kesemua teras-teras ini jika diperhalusi dan diteliti serta diserap dalam kehidupan harian kakitangan awam, berupaya membentuk perkembangan sahsiah diri yang baik dalam usaha menjalankan tugas harian di bahagian dan peringkat masing-masing,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan persidangan Pegawai-Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah Kecil kali ke-26 di sini kelmarin.

Jahid dalam pada itu berkata, Kerajaan Negeri, melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (Unit Integriti dan Governan – BIGoNS) bersama Pegawai Integriti Kementerian akan mempertingkatkan lagi program-program kesedaran integriti perkhidmatan awam dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab bagi melaksanakan projek pembangunan.

Katanya, integriti merupakan nilai yang dipegang dan harus ditunjukkan oleh penjawat-penjawat awam kerana ianya secara langsung mempamerkan imej Kerajaan.  

“Jika imej yang ditonjolkan oleh penjawat-penjawat awam tidak meyakinkan dan kurang elok maka buruklah juga reputasi Kerajaan pada masa ini. 

“Misalnya, sekiranya suatu bahagian pengurusan mengambil masa yang begitu lama dalam memproses maklumat dan dikatakan pula bersikap pilih kasih dalam memilih kontraktor berwibawa, maka orang awam iaitu rakyat akan menyimpulkan andaian bahawa sudah sememangnya begitulah senario pentadbiran awam. 

“Pada halnya, insiden kecil ini tidak boleh diterima pakai dalam mengukur prestasi dan kedudukan sebenar keseluruhan jentera pentadbiran. Bak kata pepatah, disebabkan nila setitik, rosak susu sebelanga,”katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Nurul Yanadido ke Hongkod Koisaan kali kedua

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular