HomeUtamaKemaskini PTO untuk pengurusan lebih efisien tangani bencana gempa bumi

Kemaskini PTO untuk pengurusan lebih efisien tangani bencana gempa bumi

Read Time:1 Minute, 57 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Bengkel Semakan Peraturan Tetap Operasi Pengendalian Bencana Gempa Bumi (PTO Gempa Bumi) diadakan untuk membuat persediaan lebih kemas dan tuntas bagi memastikan pengurusan bencana gempa bumi di Sabah dapat ditadbir urus dengan lebih efisien.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) selaku agensi peneraju pengurusan bencana negara bertanggungjawab mengadakan bengkel mengemaskini PTO Gempa Bumi khusus untuk mendapatkan input dan khidmat nasihat daripada pelbagai agensi yang terlibat.

“Pengemaskinian ini cukup penting dan perlu sentiasa seiring dengan peredaran masa dan teknologi terkini yang diguna pakai oleh pelbagai agensi yang terlibat dalam memastikan kesiapsiagaan berhadapan dengan bencana seperti gempa bumi.

“Antara teknologi yang diguna pakai Teknologi pemetaan digital yang digunakan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM); berkaitan pengurusan bencana seperti penginderaan jarak jauh (remote sensing), LIDAR (Light Detection and Ranging) dan pelbagai lagi teknologi terkini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Bengkel Semakan Peraturan Tetap Operasi Pengendalian Bencana Gempa Bumi (PTO Gempa Bumi) di Sutera Harbour Resort di sini malam tadi (13 Julai).

Menurut Armizan, bengkel PTO Gempa Bumi yang pertama kali dikeluarkan dalam tahun 2011 dan ia perlu semakan semula.

“Kita melihat perlunya semakan dilakukan dengan mengambil kira dua faktor utama, pertama adalah keadaan lanskap semasa dan cabaran manakala kedua keadaan risiko berkaitan dengan bencana gempa bumi ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kajian mendapati negeri Sabah merupakan kawasan yang masih aktif berlakunya gempa bumi.

“Input daripada pakar-pakar yang berada di pusat-pusat pengajian tinggi untuk mengenalpasti prosedur operasi standard (SOP) dan apa teknologi yang kita boleh guna pakai sebab kita mengetahui di Malaysia khususnya di Sabah satu kajian yang dikeluarkan pada November 2022 berkaitan dengan penilaian risiko gempa bumi di Sabah dan didapati bahawa keadaan negeri Sabah ini masih berada di dalam kawasan yang masih aktif berlakunya risiko berlakunya gempa bumi.

“Di Sabah daerah yang dikategorikan berada dalam risiko paling tinggi (high risk) berlakunya gempa bumi adalah daerah Ranau, dan beberapa daerah lain yang berada dalam risiko sederhana (medium risk) seperti Kota Belud, Tuaran, Papar, Kota Marudu serta daerah-daerah sekitar Ranau.

“Jadi sebab itu kita mengadakan bengkel ini di Sabah dan kita libatkan juga pakar kita daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) selain daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk kita mengeluarkan satu PTO Gempa Bumi baharu,” jelasnya.

RELATED ARTICLES
Utama

AJ Productions Sdn. Bhd tarik diri kerjasama penganjuran BOHEX

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular