HomeUtamaKerajaan Sabah tidak sama sekali serah haknya - Masidi

Kerajaan Sabah tidak sama sekali serah haknya – Masidi

Read Time:1 Minute, 58 Second

Kota Kinabalu : Kerajaan negeri tidak akan sekali-kali berkompromi atau menyerahkan haknya yang sudah termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, hak dan kedudukan mutlak itu termasuklah kelayakan pemberian khas mengikut Artikel 112C dan Seksyen 2 Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.

“Peruntukan itu menyediakan satu formula dan semakan kelayakan 40 peratus hasil yang dikutip Kerajaan Persekutuan di Sabah.  Adalah perlu untuk menjelaskan perkara ini secara menyeluruh sebagai tindak balas terhadap dakwaan tidak berasas yang mengatakan bahawa Kerajaan Negeri sudah melepaskan haknya berhubung pemberian khas ini.

“Saya boleh menyatakan dengan tegas bahawa Kerajaan Negeri tidak melepaskan sebarang hak perlembagaannya berhubung penyelesaian interim yang dibuat pada 2022,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Masidi berkata demikian bagi memberi penjelasan berhubung dakwaan Parti Warisan (WARISAN) yang sebelum ini mengatakan tuntutan Sabah berhubung 40 peratus hasil dikutip Kerajaan Persekutuan di negeri ini terhapus dengan penerimaan pemberian khas RM125.6 juta tahun lalu.

Beliau turut menegaskan penerimaan bayaran interim sebanyak RM125.6 juta yang meningkat daripada RM26.7 juta sebelum ini tidak menjejaskan hak Kerajaan Negeri.

“Secara khusus, ia tertakluk kepada hak Kerajaan Negeri berhubung formula sedia ada dan persetujuan untuk meneruskan rundingan selanjutnya dengan Kerajaan Persekutuan.

“Sebagai syarat tambahan kepada pengaturan interim itu, Kerajaan Negeri mengekalkan hak untuk menuntut apa yang belum dipenuhi oleh Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan semakan perlembagaan setiap lima tahun sekali sejak 1974,” katanya.

Beliau turut menjelaskan jika kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan selepas rundingan, maka perkara itu akan dirujuk kepada penilai bebas seperti diperuntukkan di bawah Perkara 112D (6) Perlembagaan Persekutuan.

“Kita kekal dengan pendirian bahawa susunan perlembagaan untuk Sabah ini dinyatakan dengan jelas dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan bertarikh 27 Februari 1963.

“Ia adalah perkiraan perkongsian hasil yang dipersetujui di antara Negeri Sabah dan Persekutuan yang membawa kepada pembentukan Malaysia pada 1963. Tiada siapa yang boleh menafikan fakta sejarah ini. Kerajaan Negeri akan sentiasa menegakkan hak perlembagaan negeri.

“Kita amat sedar apa yang dipertaruhkan dan kita akan lakukan yang terbaik bagi memenuhi apa yang ingin dilihat oleh orang ramai,” katanya.

Masidi turut yakin Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan akan mencapai penyelesaian yang adil dan saksama terhadap isu yang sudah lama tertunggak itu.

Isu pengembalian 40 peratus hasil yang dikutip Kerajaan Persekutuan di Sabah adalah antara perkara yang ditekankan Kerajaan Negeri dalam rundingan berkaitan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Mayat lelaki warga Sweden ditemui dalam kapal pelayaran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular