HomeUtamaHarga beras tidak meningkat di Sabah - Armizan

Harga beras tidak meningkat di Sabah – Armizan

Read Time:2 Minute, 13 Second

PAPAR: Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, harga beras tidak meningkat walaupun negara yang mengeksport beras putih bukan basmati ke negeri ini telah dihentikan.

“Setakat ini belum ada lagi sebarang keputusan untuk meningkatkan harga beras dan bila kita bergantung kepada bekalan sumber makanan, import dari luar, kita tertakluk kepada isu-isu berbangkit sama ada di negara sumber tersebut, dasar kerajaan mereka atau isu-isu lain termasuk geopolitik yang kita tahu konflik Ukraine – Russia juga mempengaruhi.

“Justeru, kita meneliti secara dekat setiap masa isu-isu yang berkaitan dengan sumber bekalan daripada luar dan selain itu juga, bagaimana kita dapat memastikan kestabilan harga itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Armizan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), untuk jangka masa panjang di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kita dapat lihat tumpuan itu apabila Kementerian Pertanian sendiri telah dijenamakan dengan Keterjaminan Makanan.

“Itu sebabnya kita melalui penglibatan kementerian lain termasuk Kementerian Ekonomi juga melihat tentang keperluan untuk memulakan tanaman-tanaman tertentu walaupun hakikatnya sebahagian tanaman tu sekiranya ditanam di negara kita kosnya lebih tinggi berbanding dengan import.

“Namun kita tiada pilihan sebab landskap baru dunia hari ini, kita tidak boleh 100 peratus bergantung kepada sumber bekalan daripada luar, perlu juga ada tahap sara diri (SSL) di peringkat domestik,” jelasnya.

Jelas beliau lagi, beras walaupun kita import, Perdana Menteri telah memberi galakan dengan menaikkan harga padi kepada petani-petani dengan jumlah yang cukup tinggi untuk memastikan rakyat yang laksanakan penanaman padi terus menjadikan tanaman padi sebagai sumber bekalan tempatan kita.

Antara isu lain ialah gula, Armizan berkata, 100 peratus sumber gula yang belum diproses (raw sugar) adalah daripada luar dan sekarang 100 peratus sumber daripada luar itu hanya dari Brazil sebab India telah hentikan eksport keluar bukan hanya ke Malaysia, ini perkara yang perlu kita lihat berkaitan dengan bekalan gula.

Menurutnya, ada cadangan dan beberapa lokasi telah dikenal pasti di Semenanjung Malaysia dimulakan kajian supaya dikembalikan semula projek penanaman tebu di kawasan yang bersesuaian.

Dalam pada itu, beliau menyarankan kepada kerajaan Negeri Sabah supaya melihat keperluan penanaman padi melalui Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) untuk meningkatkan sember bekalan makanan itu.

“Saya menyarankan kepada Kerajaan Negeri Sabah, sekiranya ada kawasan sesuai kenapa tidak kerajaan Sabah melihat keperluan menjalankan penanaman padi mungkin melalui GLC supaya Sabah, dan juga Sarawak boleh merintis ada bekalan sumber tertentu.

“Kita juga tidak boleh bergantung bekalan itu melalui Semenanjung Malaysia, sama ada kita ada sumber domestik sendiri dari Sabah, kita juga boleh mengimport terus dari luar tanpa melalui Semenanjung Malaysia, asalkan kita dapat harga itu lebih murah daripada yang sedia ada,” tambah beliau.

RELATED ARTICLES
Utama

Taman Perkuburan Islam Ar-Raudhah Fasa 2 Sandakan dapat tampung 1,000 jenazah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular