HomeUtama'Saya mahu hidup' ungkapan bersemangat Mashitah, gadis hilang kedua belah kaki &...

‘Saya mahu hidup’ ungkapan bersemangat Mashitah, gadis hilang kedua belah kaki & tangan

Read Time:3 Minute, 25 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: ‘Saya mahu hidup’ ungkapan bersemangat itu tercetus dari mulut gadis manis seorang penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang kehilangan kedua belah tangan dan kaki akibat komplikasi penyakit apendiks yang dihadapinya.

Dayangku Siti Mashitah AK Sulaiman, 22, merupakan mahasiswa Tahun 2 jurusan Hubungan Antarabangsa di UMS dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) sejak dua bulan lalu dan kini masih menerima rawatan di hospital tersebut.

Walaupun demikian keadaannya, itu tidak sesekali mematahkan semangatnya meneruskan pengajian di universiti itu.

Semasa penulis datang melawatnya, titis air mata kelihatan bercucuran dipipinya yang gebu sambil tersenyum bila disapa.

Mashitah anak kedua dari empat beradik lebih mesra dipanggil Mariam oleh ahli keluarganya sentiasa tersenyum bila melihat tamu yang datang melawatnya.

Ditanya apa yang membuatkan dia bersemangat walaupun dalam keadaan seperti itu, secara ringkas dia berkata ‘saya mahu hidup’.

Berkongsi cerita sejak bangun dari koma selama hampir sebulan di Unit Rawatan Rapi HQE I, semangat untuk terus hidup Mashitah itu kuat bila melihat kedua ibu bapa berada disampingnya dan terus memberikan kata-kata semangat.

“Selain ibu bapa, keluarga dan kawan-kawan universiti juga ada datang melawat dan memberi kata-kata semangat.

“Saya sedar kaki dan tangan saya sudah tiada tapi saya redha kerana itu semua milik Allah, saya hanya mahu hidup.

“Saya mahu meneruskan pengajian saya hingga berjaya dengan cara apa sekali pun. Saya difahamkan ada kemudahan canggih untuk golongan seperti saya, saya harap saya akan mendapatkan kemudahan itu,” katanya dengan bersemangat.

Katanya, doktor ada memberitahunya dalam dua minggu lagi sekiranya keadaannya sudah beransur pulih dia boleh balik ke rumah.

“Saya tidak sabar untuk balik rumah dan memulakan pembelajaran secara online. Pihak UMS pun ada memberitahu saya, saya boleh belajar semula pada bila-bila masa sahaja mengikut keselesaan saya,” jelasnya.

Mashitah yang juga anak seorang nelayan berasal dari Kampung Lubok, Weston, sebelum ini bercita-cita ingin menjadi seorang Guru Geografi kini masih mahu meneruskan cita-cita itu dan impiannya ingin mengubah kehidupan keluarganya dengan lebih baik.

Semalam (Sabtu), Mashitah menerima lawatan daripada Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal.

Menurut Mohammad Yusof, kementeriannya bersama UMS akan melihat kaedah terbaik untuk memudahkan urusan mahasiswa berkenaan supaya dapat meneruskan pengajiannya nanti.

“Kehadiran pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) adalah sebagai tanda sokongan kepada pelajar dan ahli keluarga mereka serta komitmen keprihatinan berterusan kementerian terhadap kebajikan dan kesejahteraan siswa kita.

“Pihak YKS juga akan terus giat memastikan kebajikan pelajar sentiasa terjaga dan terpelihara sepanjang pengajian mereka di kampus,” katanya semasa menyalurkan bantuan bagi pihak Yayasan Kebajikan Siswa (YKS) kepada waris pelajar dalam kenyataannya hari ini.

Sementara itu, AK Sulaiman Ag Damit,54, bapa kepada Siti Mashitah berterima kasih atas kehadiran pihak KPT, UMS dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), serta NGO selain saudara mara dan sahabat handai yang tidak putus-putus memberikan sokongan moral kepada anaknya dan keluarga.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang hadir melawat anak saya di hospital ini. Terima kasih berikan semangat untuk kami terutamanya anak saya.

“Kami sebagai ibu bapa Mashitah redha dengan ketentuan ilahi, kami hanya mahu anak kami hidup dan mencapai apa yang dicita-citakannya,” katanya sambil tidak putus-putus mengesat air mata ketika ditemui Sabah Media hari ini.

AK Sulaiman yang juga seorang nelayan sudah dua bulan tidak turun ke laut kerana menjaga anak kesayangan mereka di hospital. Manakala ibu Mashitah, Samariah @ Lizah Matnor, 53, tidak bekerja dan hanya suri rumah.

“Saya mengalu-alukan sekiranya ada pihak yang ingin memberikan apa sahaja bentuk sumbangan terutamanya untuk anak kami, kami sangat berterima kasih,” katanya dengan nada sebak.

Pada sesi ziarah KPT, sumbangan turut disalurkan oleh PTPTN kepada Mashitah yang disampaikan oleh Pengerusi PTPTN Datuk Norliza Abdul Rahim dan Ketua Eksekutif, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Hadir sama pada sesi ziarah itu ialah Ketua Setiausaha KPT Datuk Seri Abdul Razak Jaafar; Timbalan Naib Canselor (HEPA) UMS, Profesor Madya Dr Raman Noordin dan Ahli Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah YKS, Nur Zahiah Saideh.

Sumbangan boleh disalurkan terus ke akaun ibu Mashitah, Samariah @ Lizah Binti Matnor melalui nombor akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 1210041100144570 atau hubungi di talian 014-3271496 (Samariah) untuk sebarang bentuk sumbangan yang ingin disalurkan.

RELATED ARTICLES
Utama

Had laju diubah, kurangkan risiko kemalangan di Jalan Lintas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya