HomeUtamaDr. Sirhajwan Idek terima Anugerah Youth Achievement Record di Jakarta

Dr. Sirhajwan Idek terima Anugerah Youth Achievement Record di Jakarta

Read Time:2 Minute, 9 Second

JAKARTA: Dr. Sirhajwan Idek, guru Bahasa Inggeris Kolej Vokasional (KV) Keningau, telah menerima anugerah Youth Achievement Record dalam satu majlis di Ritz Carlton Pacific Place Hotel, Jakarta, Indonesia, pada Sabtu (2 Sept).

Anugerah disampaikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Adam Adli semasa ASEAN Future Generation Business Forum yang merupakan salah satu acara sampingan ASEAN Summit yang berlangsung di Jakarta.

Anugerah yang diberikan buat julung-julung kalinya oleh GenYouth, sebuah persatuan belia Asia Tenggara, bertujuan untuk meraikan pencapaian dan sumbangan golongan belia di Asia Tenggara.

Terdapat seramai lapan penerima anugerah dari negara-negara Asia Tenggara bagi kumpulan pertama ini.

Dr. Sirhajwan telah dicalonkan oleh
Kementerian Belia dan Sukan Malaysia sebagai satu pengiktirafan bagi rekod yang telah dia cipta iaitu orang Asia yang pertama memenangi International Innovation & Entrepreneurship Excellence in Teaching Award di Paris pada tahun 2017.

Pada 22 September 2017, Dr. Sirhajwan Idek telah mencipta rekod setelah menewaskan lapan finalis lain daripada negara Rusia, Amerika Syarikat, Britain, Jerman, Kanada, Denmark dan Colombia apabila dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama bagi anugerah International Innovation & Entrepreneurship Excellence in Teaching Award di European Conference on Innovation and Entrepreneurship, Paris, Perancis, anjuran Academic Conferences International.

Sebagai ketua kajian dan inovasi di KV Keningau sejak tahun 2016, dia telah membimbing seramai 700 pelajar dan hampir 100 guru di kolej tersebut untuk membentang projek mereka di persidangan kajian dan pertandingan inovasi secara dalam talian dan bersemuka di dalam dan luar negara.

Para pelajarnya telah berjaya memenangi pelbagai pingat, hadiah dan geran termasuklah geran berjumlah RM 20,000.00, RM 10,000.00 dan RM 8,000.00 daripada pertandingan Pitchborneo, Shell LiveWIRE dan Pitchbah.

Dua orang pelajarnya, Alesyah Asa dan Nurul Nazieha Jasnie, berjaya melayakkan diri sebagai 10 dan 50 finalis terbaik bagi anugerah Global Student Prize iaitu anugerah paling berprestij untuk pelajar di dunia pada tahun 2022 dan 2023 yang menawarkan hadiah wang tunai berjumlah USD 100,000.00 kepada seorang pemenang.

Dr. Sirhajwan juga telah mengendalikan hampir 300 bengkel, ceramah dan webinar berkenaan dengan strategi inovasi untuk golongan pendidik dan pelajar di dalam Malaysia serta di luar negara.

Pada tahun 2022, beliau telah dipilih sebagai penerima pertama anugerah Ikon Belia Negara Karismatik yang disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Dr. Sirhajwan meluahkan rasa terharu dengan pengiktirafan tersebut memandangkan ianya mampu memartabatkan profesion perguruan sebagai satu kerjaya yang penting dalam mendidik generasi muda.

Sementara itu, Pengarah Kolej Vokasional Keningau, Nordin Akup, menyatakan rasa bangga atas pencapaian guru tersebut kerana ini akan memberi inspirasi kepada warga kolej itu untuk terus berusaha mengejar cita-cita mereka dan memberi impak positif kepada yang lain.

RELATED ARTICLES
Utama

Monsun Barat Daya dijangka bermula Jumaat, taburan hujan lebih rendah –...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular