HomeSukanEISS 2023 jana pulangan ekonomi RM13.8 juta

EISS 2023 jana pulangan ekonomi RM13.8 juta

Read Time:1 Minute, 51 Second

Kota Kinabalu : Penganjuran Ekspo Industri Sukan Sabah (EISS) 2023 yang dilaksanakan buat kali pertama di Sabah baru-baru ini telah berjaya menjana pulangan ekonomi sebanyak RM13.8 juta.

Ketua Sekretariat Industri Sukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia Mustaza Ahmad berkata, ia juga turut dijana menerusi pemeteraian tiga perjanjian persefahaman (MoU) yang turut ditandatangani pada EISS.

Katanya, EISS 2023 ini juga telah melepasi sasaran bilangan pengunjung seramai 5,846 orang. 

“Penganjuran EISS 2023 ini telah berjaya menarik penyertaan dari 38 pemain industri dari Semenanjung Malaysia dan Sabah. 

“Objektif utama ianya diadakan adalah untuk memberi peluang kepada pemain industri untuk memasarkan produk, perkhidmatan dan penganjuran acara pasaran terbuka secara langsung khusus pasaran Borneo dari pelbagai segmen industri sukan termasuk pelancongan sukan, kemudahan sukan, peruncitan sukan, perubatan sukan, pengurusan acara sukan dan pendidikan sukan.  

“Semoga penganjuran akan datang dapat membuka peluang yang lebih luas kepada pemain industri untuk berkembang dengan lebih luas,” katanya dalam kenyataan di sini.

EISS 2023 yang diadakan selama dua hari itu dirasmikan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin.

Mustaza berkata, EISS 2023 adalah aktiviti yang dilaksanakan oleh KBS Malaysia bagi memastikan kelestarian ekosistem industri sukan Malaysia khususnya di negeri Sabah dan Sarawak serta menunjukkan komitmen kerajaan untuk mempergiatkan lagi aktiviti sukan sebagai satu industri di Sabah dan Sarawak. 

Terdahulu, pada majlis itu, antara MoU yang ditandatangani adalah antara Persatuan Pengurusan Industri Sukan Malaysia (PRISM) dengan Leonian (M) Sdn. Bhd. bagi penganjuran Sports Industry Golf Challenge 2023/2024; Greenmaster (M) Sdn. Bhd. dengan Syarikat Niqmar Sdn. Bhd. sebagai Agen Pembinaan Kemudahan Sukan dengan Teknologi yang dipunyai oleh RS Greenmaster bagi Negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan; dan MAXX Sports Sdn. Bhd. dengan Syarikat Milleneum Sports dan Syarikat Acebrio sebagai pengedar sah peralatan badminton jenama MAXX. 

Selain EISS 2023, satu Persidangan Industri Sukan Sabah turut diadakan menampilkan beberapa penceramah dan ahli panel forum jemputan yang berpengalaman dalam industri sukan.  

Beberapa acara sampingan turut disediakan kepada pengunjung di EISS 2023 antaranya adalah jualan barangan sukan, pertandingan dancefit challenge, pertandingan eSports, pertandingan tenpin bowling, fun ride, masterclass fuze fitness knockout, temuduga kerjaya serta persembahan artis dan kebudayaan tempatan. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Sukan

Kejohanan bola sepak medan cungkil bakat baharu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular