HomeUtamaAkses capaian internet luar bandar bantu rapat jurang digital penduduk

Akses capaian internet luar bandar bantu rapat jurang digital penduduk

Read Time:2 Minute, 3 Second

Keningau : Pemasangan Starlink berspesifikasi tinggi khususnya di kawasan luar bandar di negeri ini diyakini mampu merapatkan jurang digital penduduk setempat.

Ahli Parlimen Pensiangan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, ia merupakan salah satu agenda beliau bagi memastikan penduduk luar bandar turut mendapat manfaat dari keperluan digital yang disediakan Kerajaan.

“Ini adalah antara perjuangan saya sejak menjadi Ahli Parlimen yang membawa suara rakyat di kawasan Pensiangan.

“Saya percaya akses kepada capaian internet dan teknologi akan dapat membantu mewujudkan pelbagai peluang bagi sesebuah komuniti untuk memacu perubahan ekonomi yang signifikan seterusnya menyumbang kepada kehidupan yang lebih baik dan sejahtera,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas mengadakan lawatan ke Kampung Malaing di sini bagi meninjau dan mencuba sendiri prestasi perkhidmatan internet Starlink berkenaan.

Sekolah Kebangsaan (SK) Malaing telah dipilih untuk menjadi lokasi pertama di Sabah dan Borneo yang menerima pemasangan Starlink berspesifikasi tinggi oleh agensi Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (SKMM) sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD). 

Arthur yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia berkata, sekolah berkenaan merupakan salah satu daripada tiga lokasi yang telah dipohon selain daripada SK Bonor dan SK Longongon, Nabawan.

Katanya, inisiatif ini merupakan tambahan fasiliti yang bersifat sementara bagi menawarkan kemudahan capaian internet yang stabil dan laju bagi kemudahan penduduk setempat.

“Sebagai langkah penyelesaian jangkamasa panjang, sebanyak 55 menara telekomunikasi baharu di bawah program JENDELA sedang dibina bagi memastikan Parlimen Pensiangan mempunyai liputan internet yang lebih meluas, laju dan stabil di masa hadapan.

“Para penduduk di Kampung Malaing turut menyatakan penghargaan atas inisiatif yang telah dilaksanakan KKD  dan mereka amat berpuas hati dengan kelajuan dan kestabilan capaian internet oleh Starlink,” katanya.

Dalam pada itu, Arthur berkata, beliau turut yakin capaian internet yang stabil akan membolehkan anak-anak di kawasan pedalaman dapat turut serta secara aktif dalam pembelajaran dalam talian (PdP).

Katanya, para pelajar juga dapat menerokai teknologi dan kemahiran baharu seperti kecerdasan buatan (A.I), realiti maya (V.R), pengkodan dan pelbagai lagi yang dapat meningkatkan kemahiran diri mereka sejajar dengan keperluan pasaran industri di masa akan datang.

“Pemasangan peralatan Starlink di SK Malaing secara tidak langsung mencerminkan bagaimana hubungan erat antara pemimpin setempat, anggota pentadbiran dan juga agensi Kerajaan dapat mewujudkan kerjasama merentasi agenda politik dalam memberikan perkhidmatan yang optimum kepada masyarakat umum.

“Saya merakamkan penghargaan kepada Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil serta agensi yang terlibat dalam usaha untuk merapatkan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar yang memberikan impak yang besar kepada komuniti setempat,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Kerajaan negeri hargai peranan media di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya