HomeUtamaBelia golongan B40 diseru sertai kursus kemahiran anjuran kerajaan

Belia golongan B40 diseru sertai kursus kemahiran anjuran kerajaan

Read Time:4 Minute, 0 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Para belia khususnya golongan B40 diseru untuk mengambil peluang menyertai kursus-kursus kemahiran yang dianjurkan oleh kerajaan bagi meningkatkan taraf hidup serta ekonomi keluarga.

Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah (UPEN) Datuk Jasmine Teo berkata, di negeri Sabah jumlah bilangan golongan B40 ini agak besar, oleh itu Kerajaan Negeri amat prihatin terhadap golongan ini.

“Justeru untuk membantu golongan B40 ini, salah satu cara untuk kita meningkatkan taraf ekonominya adalah dengan cara mengadakan kursus-kursus latihan ataupun kemahiran-kemahiran yang boleh digunakan untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

“Dengan cara ini sahaja mereka akan dapat mengekalkan pendapatan yang berterusan dan seterusnya dari semasa ke semasa akan dapat menambahkan lagi pendapatan keluarga,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penghargaan Dan Penyampaian Sijil Peserta Program Peningkatan Kapasiti Dan Kapabiliti Kumpulan Khusus (PPKK) Kumpulan 2, di Raia Hotel dekat sini pada Jumaat (8 Sept).

Program latihan kemahiran berkenaan adalah anjuran UPEN dengan kerjasama Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS).

Semalam, seramai 85 orang peserta (Fasa 2) dari golongan B40 seluruh Sabah menerima sijil tamat kursus latihan selama dua bulan bermula pada 7 Julai 2023 sehingga 8 September 2023 dan program ini telah dijalankan di Kampus KTYS, Likas. Manakala pada fasa pertama 75 orang peserta juga telah menamatkan kursus ini dan jumlah keseluruhan adalah seramai 150 orang peserta.

Mengulas lanjut mengenai program latihan yang telah dijalankan, Jasmine berkata, Program Peningkatan Kapasiti Dan Kapabiliti Kumpulan Khusus Asas merangkumi kursus latihan Asas Penyelenggaraan Elektrik, Asas Penyelenggaraan Penyamanan Udara dan Asas Penyelenggaraan
Automotif.

Selain itu katanya, UPEN juga ada menganjurkan program latihan asas lain khasnya untuk kaum wanita seperti kursus kecantikan, masakan, kulinari dan sebagainya.

Disamping itu, menurut Jasmine, UPEN juga turut melaksanakan pelbagai program pembasmian kemiskinan di negeri ini.

“Kita ada banyak sebenarnya program pembasmian kemiskinan yang boleh direbut dan disertai oleh oleh golongan B40 ini cuma kadangkala apabila kita memperkenalkan kursus ini, ada beberapa pihak yang tidak berapa berminat untuk menyertainya, itu kekangan kita sebenarnya, dari segi sikap itu kita kena ubah, kena lebih banyak memberi pendedahan kepada golongan ini untuk merebut apa juga tawaran-tawaran daripada kerajaan untuk membantu mereka,” tegasnya.

Menurut Jasmine lagi, pada masa ini UPEN selain mengadakan kerjasama dengan KTYS, kerjasama turut diadakan dengan beberapa institusi lain seperti Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM), Oil & Gas serta institusi kemahiran yang lain.

Katanya, kerjasama ini adalah untuk memberikan kemahiran yang sesuai dengan kemahiran pasaran.

“Kita berharap golongan ini mengambil peluang ini supaya dapat dimanfaatkan kerana itulah tujuan kerajaan menyediakan dana, terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan yang tidak putus-putus menyediakan dana untuk menyediakan latihan-latihan dan kursus. Namun demikian dalam masa akan datang kita akan menyediakan latihan-latihan di mana kita akan melihat keperluan pasaran itu sebenarnya, ada kursus yang pernah ditawarkan mungkin tidak lagi relevan pada masa ini.

“Sebelum ini UPEN pernah menyediakan program latihan sarang burung walit, kita sediakan latihan dari segi pembersihan sarang burung itu, maksudnya kalau sarang burung itu dibersihkan maka kualitinya akan tinggi dan kita akan dapat hasil yang lebih baik, jadi itulah bentuk kursus yang kita tawarkan kepada golongan sasaran ini,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Jasmine berkata, kerjasama UPEN dengan KTYS sudah lama berjalan dengan beberapa siri program latihan, namun peruntukan ini pernah diberhentikan sementara waktu dan apabila ia dibenarkan diadakan semula bersama KTYS, ia merupakan pusingan pertama program ini dilaksanakan pada tahun ini.

“Sekiranya ada peruntukan lagi di masa akan datang, Inshaa Allah kita akan beri peluang lagi kepada KTYS,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KTYS Haji Samin Ongki turut mengalu-alukan golongan sasar ini menyertai kursus-kursus latihan khususnya yang diadakan di KTYS.

Sehubungan dengan itu, beliau turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak UPEN atas kerjasama menjayakan program tersebut.

“Pihak KTYS juga mengalu-alukan penyertaan belia dan beliawanis untuk menyertai dalam setiap program latihan asas yang kami tawarkan kerana ia bukan sahaja bermanfaat kepada peserta tetapi juga program ini adalah percuma tanpa sebarang yuran, kemudahan tempat tinggal, makan dan minum adalah percuma,” katanya.

Tambah beliau, sekiranya pelatih telah tamat kursus, mereka boleh melanjutkan pengajian ke peringkat sijil dan diploma di KTYS.

Nur Lyna (tengah) bersama kakaknya Nur Almuz (kanan) dan sepupu mereka Dyg Nur Syuhadah Mohd Saffee, 17, (kiri) semasa menerima sijil tamat kursus di Raia Hotel pada Jumaat.

Salah seorang peserta, adik beradik Dayang Nur lyna Adryana Ali Musa, 16, bersama kakaknya Dayang Nur Almuz Farahain, 19, dari Kampung Likas, tidak melepaskan peluang menyertai program tersebut mengambil kursus Asas Penyelenggaraan Automotif.

“Kami sangat teruja menyertainya, tidak ramai kaum wanita dalam bidang penyelenggaraan automotif, namun dalam masa dua bulan kursus memang belum cukup memahirkan kami dalam bidang ini.

“Disamping itu juga, kami juga ingin meningkatkan taraf kehidupan keluarga kami, dan kami bercadang untuk melanjutkan pengajian dalam bidang sama di kolej ini (KTYS) untuk memantapkan lagi kemahiran yang kami perolehi dari program ini,” kata Dayang Nur lyna.

RELATED ARTICLES
Utama

Kerajaan negeri hargai peranan media di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya