HomePolitikUPKO sokong agenda reform Kerajaan Perpaduan, tolak politik ekstrem

UPKO sokong agenda reform Kerajaan Perpaduan, tolak politik ekstrem

Read Time:2 Minute, 3 Second

Kota Kinabalu : Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyokong agenda reform Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presidennya Datuk Ewon Benedick berkata, agenda reform itu termasuklah pengolahbaikan struktur ekonomi, pengasingan peranan Peguam Negara (Attorney General) dan Pendakwaraya Umum (Public Prosecutor), akta pendanaan politik dan perundangan menangani isu 3R.

“UPKO menyokong economic reform yang dicetuskan oleh Perdana Menteri sepertimana diserlahkan dalam peluncuran Kerangka Ekonomi MADANI di mana Kerajaan meletakkan visi untuk meningkatkan siling dan menaikkan lantai bagi mengangkat martabat ekonomi termasuk memperkenalkan dasar gaji progresif sektor swasta dan memperbaiki gaji sektor perkhidmatan awam.

“Kerajaan juga telahpun membincangkan agenda pemisahan fungsi Attorney General dan Public Prosecutor. UPKO mahu reform ini dilaksanakan dalam penggal kepimpinan Perdana Menteri ini.

“Agenda reform ini turut mencakupi perundangan bagi menangani isu 3R – race, religion, royalty. Secara peribadi, saya bersetuju Akta Hasutan dikekalkan bagi menangani isu melibatkan institusi diraja, manakala perundangan baharu perlu digubal untuk menangani isu melibatkan kaum dan agama.

“UPKO juga menyokong penggubalan Akta Pendanaan Politik supaya tadbir urus demokrasi negara melalui aktiviti kepartian dipandu dengan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar di Konvensyen Nasional UPKO, di Dewan Masyarakat Menggatal, di sini, semalam.

Ewon berkata, Kerajaan juga telah bersetuju pada dasarnya mengenai beberapa lagi agenda reform institusi yang lain.

Katanya, pendirian UPKO terus mendukung pengasingan kuasa cabang eksekutif, perundangan dan kehakiman negara.

“Kita juga mahu negara ini kekal sebuah negara persekutuan yang berasaskan demokrasi berparlimen, raja berperlembagaan, yang menghormati agama Islam sebagai agama rasmi tetapi agama lain boleh dianuti dengan harmoni.

“Begitu juga dengan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan tetapi bahasa ibunda dipelihara, hak istimewa Melayu dan Anak Negeri dilindungi perlembagaan tetapi kaum lain juga mempunyai hak di bawah perlembagaan,” katanya.

Beliau turut menyatakan penghargaan di atas ketegasan Perdana Menteri dan pasukan petugas khas menangani tuntutan pihak mendakwa waris Sultan Sulu ke atas Sabah yang diketuai oleh Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Azalina Othman Said.

Ewon turut mengajak ahli-ahli parti UPKO menolak politik ekstrem.

“Selagi saya menjadi Presiden UPKO, saya tidak akan memberikan sokongan kepada gagasan politik atau gagasan Kerajaan yang menjadikan agenda kaum dan agama yang ekstrem sebagai asas seperti yang kita lihat pada Perikatan Nasional. Sebagai Parti yang berbilang kaum yang berasaskan sokongan masyarakat Orang Asal, saya mahu Parti UPKO menolak ideologi politik seperti mereka.

“UPKO juga mengecam kenyataan-kenyataan politik mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamed yang semakin hari semakin ekstrem dan boleh memudaratkan hubungan kaum di negara ini,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular