HomeGaya hidupArmada Band teruja, bersedia untuk konsert live di Sabah

Armada Band teruja, bersedia untuk konsert live di Sabah

Read Time:2 Minute, 21 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Kumpulan band terkenal Indonesia, Armada sudah bersedia untuk mengadakan konsert julung kalinya ke negeri Sabah pada 4 November ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

“Ya, kami sudah membuat persiapan empat ke lima bulan lalu, kini mencapai 90 peratus persiapan dan kami sudah bersedia untuk mengadakan konsert di Sabah November ini, kami sangat teruja sekali,” kata vokalis Armada, Rizal Adi ketika sidang media secara maya di sebuah hotel di sini pada Jumaat lalu.

Sidang media Kumpulan Armada Band secara maya di Kota Kinabalu, Sabah.

Sidang media tersebut turut dihadiri Harris Baba dan isteri, Nik Naziha Zawawi, pemilik syarikat Jeeharris Corporation merupakan penganjur Konsert Armada Band – Janji Bahagia Di Kota Kinabalu, Sabah.

Menurut Rizal, artis jemputan akan diumumkan pada hari konsert nanti.

“Artis jemputan akan kami umumkan semasa konsert itu nanti, ianya surprise,” katanya.

Ditanya mengenai album terbaru Armada, Rizal berkata, Armada adalah sebuah kumpulan band Indonesia yang sangat produktif membuat album baru jadi kemungkinan Armada akan ada album baru pada tahun 2024 akan datang.

Armada turut memberikan gambaran akan mendendangkan lagu-lagu yang tular di media sosial dan yakin peminat-peminat Armada di Sabah pasti akan terhibur bila mendengarnya.

“Kami akan membawakan lagu yang tular di media sosial selain lagu ‘Asal Kau Bahagia’ paling mendapat sambutan di Malaysia.

“Sudah tentu persembahan kami mempunyai kelainan dari artis Indonesia lain, ini satu kebahagiaan buat kami mengadakan konsert di Sabah dan kami akan pastikan ia akan menjadi kesan yang mendalam kepada peminat kami di Sabah,” kata Rizal.

Armada yang dianggotai oleh vokalis Rizal Adi, drummer Meri Yandi dan guitarist Andika Maihendra akan menyampaikan 18 buah lagu. Antara lagu-lagu yang bakal dinyanyikan termasuklah Bebaskan Diriku, Asal Kau Bahagia, Pergi Pagi Pulang Pagi dan banyak lagi.

Tiket telah mula dijual di www.myticket.asia pada 24 Julai lalu pada harga bermula RM129 sehingga RM799 (seating and meet & greet).

Untuk informasi terkini anda juga boleh ke Instagram dan Facebook @jeeharriscorporation.

Pada sidang media sama, Jeeharris Corporation turut melancarkan MyTicket Sabah secara rasminya iaitu perkhidmatan pembelian tiket konsert Armada secara online disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, SeatAdvisor Sdn Bhd – MyTicket.Asia, Dirk Sass.

Pelancaran rasmi MyTicket Sabah oleh Jeeharris Corporation pada Jumaat (15 Sept).
Harris Baba semasa sidang media.

Harris berkata, MyTicket Sabah merupakan satu perkhidmatan yang memudahkan rakyat Sabah membeli tiket secara dalam talian.

“Ini adalah acara pertama kami di bawah MyTicket Sabah iaitu Konsert Armada band dan selepas ini Jeeharris Corporation akan membawa konsert Ungu band ke Sabah.

“Konsert Ungu akan mengadakan konsert live di Grand Ballroom di Pusat Teknologi & Komersial Antarabangsa (ITCC), Penampang pada 25 November ini, tiket boleh didapati dengan harga serendah RM99 hingga RM399.

“Setakat ini penjualan tiket untuk konsert Armada secara fizikal sangat menggalakkan dan mendapat sambutan ramai. Kami menyasarkan tiga hingga empat ribu penonton yang akan hadir ke konsert itu nanti,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Yayasan PETRONAS agih 500 bakul makanan sempena Kaamatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular