HomeIsu tempatanProgram Sahabat Maritim dekati komuniti nelayan, tingkat keselamatan di laut

Program Sahabat Maritim dekati komuniti nelayan, tingkat keselamatan di laut

Read Time:1 Minute, 49 Second

Semporna : Sebanyak 40 unit jaket keselamatan dan empat unit alat pemadam api disumbangkan kepada komuniti nelayan sempena Program Sahabat Maritim Siri 1/2023 di Kampung Pokas di sini semalam.

Program dua hari anjuran Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dengan kerjasama agensi-agensi sahabat serta rakan strategik itu adalah bagi mendekati komuniti nelayan di kampung itu selain membantu meningkatkan keselamatan ketika di laut. 

Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Maritim Malaysia, Mohd Norzam Mustapa, berkata, penganjuran Program Sahabat Maritim itu bertujuan untuk merapatkan lagi ukhwah antara pasukan penguat kuasa dengan komuniti nelayan.

Katanya, ia adalah agar hubungan baik dapat dibentuk selain dapat mempromosikan keselamatan maritim kepada masyarakat di pulau-pulau sekitar Semporna serta membentuk kefahaman undang-undang agar perairan negara khususnya di daerah Semporna lebih selamat dan sejahtera.

“Zon Maritim Semporna mempunyai keluasan pengoperasian laut lebih kurang 1,200 batu nautika persegi dan meliputi 52 buah pulau serta panjang pantai perairan lebih kurang 132 kilometer.

“Oleh yang demikian, kerjasama komuniti maritim untuk melaporkan dan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan yang melanggar undang-undang serta kes-kes kecemasan di laut amat penting bagi menjamin keselamatan, kesejahteraan, keharmonian dan kedaulatan perairan negara,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Che Engku Suhaimi Che Engku Daik turut menyampaikan sumbangan lebih 100 Kilogram Beras kepada komuniti kurang upaya sekitar kawasan tersebut.

Selain penyampaian jaket keselamatan dan alat pemadam api, program kali ini turut diserikan dengan beberapa aktiviti seperti gotong-royong, pembaikan fasiliti sedia ada serta pertandingan sukan rakyat.

Sempena program itu berlangsung, satu kolaborasi di antara Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan dan Jabatan Penerangan (JAPEN) Negeri Sabah turut diwujudkan untuk memberi kesedaran pada masyarakat mengenai keselamatan di laut melalui siaran hebahan yang akan dilaksanakan oleh pihak JAPEN Sabah dengan menggunakan kenderaan darat menerusi program Info On Wheels dan Info On Boats di sekitar perairan Semporna.

Antara agensi sahabat yang turut serta dalam program berkenaan ialah Majlis Keselamatan Negara (MKN), JAPEN Sabah, Jabatan Kesihatan Daerah Semporna, Jabatan Perikanan Daerah Semporna, Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah Daerah Semporna dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah Daerah Semporna.

Turut menjayakan program dua hari ini lebih 500 komuniti maritim serta warga Maritim Daerah Semporna.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

28 Hafiz, Hafizah sertai kategori hafazan pada MTHQNS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya