HomeIsu tempatanStatus B40 tidak halang Kimson lanjut pengajian

Status B40 tidak halang Kimson lanjut pengajian

Read Time:1 Minute, 35 Second

Kota Kinabalu: Kedudukan kewangan yang tidak mengizinkan sehingga terpaksa menolak tawaran ke universiti tiga tahun lalu tidak mematahkan semangat buat seorang pelajar baharu dalam kategori B40 untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Kimson Albert,22, yang berasal dari Kampung Murut, Kalabakan akhirnya berjaya melangkah ke UMS selepas dua tahun gigih mengumpul wang dengan bekerja di kampung halaman beliau.

Katanya, selepas menamatkan pengajian dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sesi 2019/2020, beliau telah membuat permohonan melanjutkan pengajian ke peringkat universiti melalui Unit Pusat Universiti (UPU).

“Saya memang dapat tawaran melalui sistem UPU iaitu di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu.

“Namun, memikirkan universiti tersebut agak jauh dan keadaan kewangan keluarga yang kurang stabil pada waktu itu, saya terpaksa menolak tawaran tersebut,” katanya.

Katanya ketika ditemui pada Majlis Lafaz Ikrar dan Aku Janji Pelajar Baharu UMS Sempena Minggu Suai Mesra Sesi 2023/2024 di Dewan Canselor, UMS di sini Selasa lalu.

Berikutan itu, Kimson berkata, dia terpaksa memutuskan untuk bekerja dan menyertai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi menjana kewangan dan membantu bapanya yang merupakan pekerja di ladang kelapa sawit.

“Selepas dua tahun bekerja, saya dapat mengumpulkan wang yang cukup dan saya membuat permohonan baru di UPU menggunakan keputusan STPM saya yang lepas.

“Pada akhirnya saya dapat tawaran di UMS dengan jurusan yang saya minati iaitu Geografi,” katanya.

Kimson menzahirkan kesyukuran kerana pada kali ini beliau telah mempunyai kewangan yang mencukupi hasil dari pekerjaannya yang membolehkan beliau membayar yuran pendaftaran bagi semester pertama pengajian.

“Selain itu, ahli keluarga yang lain juga ada membantu dalam kewangan sepanjang proses kemasukan ke UMS.

“Saya juga akan membuat pinjaman dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi menambah keperluan kewangan pada semester yang seterusnya,” katanya.

Kimson yang merupakan anak sulung dari tiga beradik turut menyatakan harapannya agar selepas tamat pengajian, beliau bercita-cita untuk memasuki profesion perguruan dan mengajar di sekolah tempat kampung halamannya, sekali gus mahu mengubah nasib keluarganya.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Penyertaan julung kali bawa tuah, Velvet Aduk dinobat juara CLAS-15

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular