HomeUtama'Jangan panik, bekalan beras putih import bersubsidi mencukupi' - Pengarah Kawalselia Padi...

‘Jangan panik, bekalan beras putih import bersubsidi mencukupi’ – Pengarah Kawalselia Padi dan Beras Sabah

Read Time:2 Minute, 24 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Orang ramai khususnya rakyat di negeri Sabah ini dinasihatkan supaya tidak melakukan pembelian panik ketika ingin mendapatkan bekalan beras di pasar raya atau kedai-kedai runcit, kata Pengarah Kawalselia Padi dan Beras Negeri Sabah, Ab Alim Multazam.

Ini adalah berikutan pengumuman Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memberikan subsidi sebanyak RM950 satu tan beras putih import (BPI) kepada Sabah dan Sarawak bermula 5 Oktober ini.

Ab Alim berkata, kerajaan telah memutuskan agar harga BPI diserap oleh kerajaan mulai 5 Oktober 2023 bagi membolehkan BPI diperolehi dengan harga runcit RM31 bagi setiap 10 kilogram.

Oleh yang demikian, dengan berita baik ini, beliau menasihatkan kepada rakyat di negeri ini supaya tidak melakukan pembelian panik khususnya bagi mendapatkan bekalan beras kerana bekalan beras bersubsidi ini mencukupi untuk rakyat Sabah.

“Kita dapati ada berlaku pembelian panik melebihi iaitu tiga hingga lima kampit beras, kita nasihatkan supaya jangan berlaku pembelian panik kerana beras akan masuk pada pasaran seperti biasa, jadi beli dalam keadaan biasa, satu dua kampit cukup untuk kegunaan harian.

“Pihak kita akan sentiasa memantau bekalan beras dan kita akan pastikan beras bersubsidi ini masuk ke pasaran dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui pemberita semasa membuat tinjauan harga dan bekalan beras bersubsidi di beberapa pasar raya besar sekitar Kota Kinabalu hari ini.

Beliau turut menasihatkan kepada peniaga boleh menghadkan setiap pembelian BPI bersubsidi untuk sementara waktu, sehingga semuanya berjalan lancar.

“Kita juga nasihatkan para peniaga boleh hadkan untuk sementara waktu iaitu bagi pembelian dua kampit setiap keluarga untuk kita mengelakkan gangguan pada bekalan itu, jadi tiada masalah by law ia tidak menjadi masalah. Cuma saya nasihatkan jangan panik, bekalan mencukupi dengan harga yang bersubsidi bagi Sabah dan Sarawak,” ujarnya.

Tinjuan mendapati hari pertama, hari ini, beras bersubsidi dijual dengan harga kurang RM31 setiap 10kg iaitu serendah RM28.50 di salah satu pasar raya sekitar Kota Kinabalu.

Ab Alim berkata, beliau berpuashati semasa membuat tinjuan itu kerana pasar raya berkenaan menjual beras bersubsidi mengikut harga yang disarankan oleh kerajaan.

“Harga ditetapkan RM31 setiap 10kg namun ia boleh kurang mengikut keadaan dari segi kos pengangkutan dan sebagainya bagaimanapun ia tidak boleh lebih dari harga RM31,”jelasnya.

Hadir sama semasa tinjauan itu ialah wakil daripada syarikat Sazarice Sdn Bhd dan TKC.

Sementara itu, pengguna Mohd Iskandar Abdul Kamal, 55, dari Kinarut juga turut mengingatkan kepada pengguna lain supaya tidak membuat pembelian panik terhadap bekalan beras bersubsidi tersebut.

“Alhamdulillah, harga beraspun sudah turun dan saya nasihatkan kepada pengguna lain supaya tidak membuat pembelian panik kerana saya difahamkan bekalan mencukupi, terima kasih kepada kerajaan kerana meringankan beban kami sebagai pengguna,”katanya.

Manakala suri rumah, Laina Teawa, 39, dari Putatan berkata, beliau turut berterima kasih kepada kerajaan kerana sebelum ini memang berasa terbeban dengan harga beras yang tinggi.

“Kami mempunyai keluarga yang besar jadi dengan adanya subsidi beras dari kerajaan ini meringankan beban dan dapatlah membeli barang keperluan makanan lain selain beras,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

JENDELA : Capaian internet catat peningkatan bagi kawasan berpenduduk

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular