
Keharmonian hubungan masyarakat perlu sentiasa dipertahankan
Kota Kinabalu : Keharmonian yang terbina dalam hubungan masyarakat pelbagai budaya, bangsa dan agama di Sabah perlu sentiasa dipertahankan.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia merupakan kekuatan dan identiti penting Sabah yang mempunyai sebanyak 35 etnik dan 217 sub etnik yang berkomunikasi dalam lebih 50 bahasa dan 80 dialek etnik.

“Perbezaan kaum dan agama bukan penghalang untuk hidup bersama secara harmoni. Saling menghormati dalam kalangan rakyat adalah antara kunci kejayaan negeri Sabah dalam mengekalkan perpaduan kaum.
“Justeru saya menyeru agar ikatan persaudaraan umat Islam di rantau ini terus diperkukuhkan atas tautan ‘ukhuwwah islamiyyah’ dan pertahankan amalan kesederhanaan serta perpaduan agar tidak mudah dipengaruhi atau diganggu gugat oleh unsur-unsur yang ekstrem,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Keharmonian Serantau di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif .
Hajiji berkata, persaudaraan ini penting kerana ia menjadi pengikat kepada usaha-usaha keharmonian dan kemakmuran berasaskan prinsip-prinsip keadilan, Rahmah dan kasih sayang.
Katanya, ajaran Islam juga menekankan tentang nilai toleransi dan kebersamaan.

“Melalui nilai-nilai tersebut, kita dituntut untuk menghormati perbezaan yang terdapat dalam masyarakat dan menerima realiti kepelbagaian seperti yang digariskan dalam Islam,” katanya.
Sementara itu, Hajiji berkata, umat Islam perlu diperlengkapkan dengan keupayaan intelektual, kreativiti dan daya saing yang tinggi, termasuk cabaran perubahan kepada cara hidup yang berupaya memberi kesan kepada hubungan dalam masyarakat pelbagai budaya dan agama.
Katanya, ia adalah bagi memperkukuhkan lagi kesatuan ummah serantau bagi mendepani cabaran- cabaran global masa kini.
Menurutnya, umat Islam sebagai masyarakat yang dipimpin oleh nilai-nilai agama dan isu-isu negatif yang melebarkan lagi jurang perbezaan dalam masyarakat perlu diselesaikan dengan baik.
Sehubungan itu, beliau meminta Umat Islam di negara ini khususnya di Sabah agar tidak terlibat dengan mana-mana kumpulan ekstreme yang mampu menggugat keamanan, perpaduan dan persaudaraan serta keharmonian negara.
Hajiji berkata, wacana keharmonian dan kemakmuran tidak boleh lari daripada membincangkan dimensi kepelbagaian umat manusia secara keseluruhan. Rantau ini khususnya, terdiri daripada pelbagai etnik, budaya dan agama yang sememangnya merupakan satu dimensi yang perlu diurus dengan cara yang terbaik.
“Saya mengharapkan keharmonian dan keamanan yang terjalin dalam kalangan masyarakat yang pelbagai di rantau ini menjadi model kepada dunia,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO JAPEN SABAH