HomeUtamaLarangan Naikkan Sepanduk, Laung Takbir Bukan Pendirian Kerajaan - Saifuddin

Larangan Naikkan Sepanduk, Laung Takbir Bukan Pendirian Kerajaan – Saifuddin

Read Time:1 Minute, 54 Second

BERNAMA
Larangan menaikkan sepanduk mengecam pemimpin Israel dan melaungkan takbir pada perhimpunan aman Ahad lepas, bukan pendirian kerajaan mahupun umat Islam di negara ini yang cintakan perdamaian.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perkara berkaitan larangan itu adalah atas budi bicara penganjur yang bertanggungjawab memastikan tiada perbuatan cenderung kepada permusuhan berlaku. 

“Di Parlimen saya tegaskan, bila saya berdiri pendirian kerajaan saya sampaikan dengan tanggungjawab, pengiktirafan kita kepada mereka (Palestin)…tetapi soalnya apakah boleh dikecam Benjamin Netanyahu, pendirian kita jelas, hakikat bahawa kita mengiktiraf perjuangan rakyat Palestin, dengan sendirinya kita menidakkan sokongan (kepada Israel).

“Tetapi kalau di himpunan dengan 300, 400 orang, dianjurkan satu pertubuhan kemudian kalau dikenakan apa-apa sekatan, yang boleh dan tidak boleh, kena lihat fakta kejadian pada waktu itu dan ia tak mencerminkan pendirian sepenuhnya kerajaan hari ini,” katanya pada waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang ingin tahu sama ada terdapat undang-undang baharu untuk menurunkan sepanduk yang mengecam pemimpin Israel itu. 

 Saifuddin berkata Akta Perhimpunan Aman 2012 mensyaratkan penganjur bertanggungjawab memastikan pihaknya dan orang lain berada dalam perhimpunan itu tidak melakukan perbuatan dan tidak mengeluarkan pernyataan yang berkecenderungan untuk mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan dalam kalangan orang awam.

Selain itu, Saifuddin berkata pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan serta Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al Saud baru-baru ini, turut menunjukkan usaha Malaysia dalam bersama-sama menyelamatkan rakyat Palestin. 

“Isu pokoknya solidariti kepada rakyat Palestin diiktiraf oleh negara yang bersimpati sebagai negara berdaulat tetapi tidak ada tanah air baik di Gaza atau tebing barat yang buminya itu adalah bumi dijajah. 

“Sekarang nyawa dua juta rakyatnya terancam, tentera Israel sudah ada di sempadan dan isu pokoknya bagaimana mengeluarkan rakyatnya daripada tanah Gaza yang tengah terkepung dan ini yang dilakukan perdana menteri bertemu Erdogan, Raja Salman dan menjadi koordinator bagi pihak ASEAN,” katanya. 

Menjawab soalan asal Wan Ahmad Fayhsal sama ada kerajaan mengeluarkan garis panduan perkara tidak boleh diucapkan dalam sesuatu demonstrasi aman, Saifuddin berkata akta sedia ada seperti Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia sudah memadai dalam menguruskan sesuatu perjalanan perhimpunan awam.

RELATED ARTICLES
Utama

102 KIR terjejas banjir di Penampang terima sumbangan Perdana Menteri

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular