HomeIsu tempatanPAWE beri manfaat kepada 5,980 ahli seluruh Sabah

PAWE beri manfaat kepada 5,980 ahli seluruh Sabah

Read Time:1 Minute, 45 Second

Kota Kinabalu : Sebanyak 21 buah Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) yang telah ditubuhkan di negeri ini berjaya memberi manfaat kepada 5,980 warga emas di Sabah.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata, jumlah tersebut merupakan ahli berdaftar dengan PAWE Sabah yang didaftarkan hingga September lalu.

Katanya kesemua mereka telah menikmati pelbagai aktiviti serta perkhidmatan yang bercorak reaching out dan developmental kepada warga emas di pusat berkenaan.

“Inisiatif Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah melalui Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah ini digerakkan dengan penglibatan komuniti setempat dan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan Pertubuhan Sukarela Kebajikan.

“PAWE Tuaran merupakan antara PAWE yang baharu ditubuhkan pada tahun ini dan terdapat juga cadangan penubuhan PAWE baharu yang akan dibina iaitu di Kinabatangan dan Pulau Jambongan.

“Seharusnya penubuhan PAWE ini tidak hanya terhad kepada satu parlimen satu PAWE sahaja dan mudah-mudahan akan lebih banyak lagi penubuhan PAWE di seluruh Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Festival Kebudayaan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Bersempena sambutan Hari Warga Emas Peringkat Negeri Sabah Tahun 2023 di sini, baru-baru ini.

Teks ucapan beliau disampaikan Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Flovia Ng.

Beliau berkata, sehingga Ogos lalu, kerajaan negeri telah membelanjakan peruntukan sebanyak RM113,598,500 kepada seramai 28,715 orang penerima bantuan warga emas.

“Bagi menjamin warga emas ini terus dilindungi serta penjagaan yang sewajarnya seramai 253 sukarelawan yang melaksanakan program Khidmat Bantu di Rumah dan telah memberi manfaat kepada seramai 759 warga emas.

“Diharapkan agar lebih ramai lagi masyarakat kita terutama golongan muda contohnya mahasiswa dan mahasiswi untuk menyertai program sukarelawan ini,” katanya.

Dalam program tersebut, Flovia menyampaikan Anugerah Khas Pengerusi PAWE kepada Pengerusi PAWE Sepanggar, Mariah Takin dan Anugerah PAWE Terbaik yang diraih oleh PAWE Elopura.

Turut diadakan, pelbagai pertandingan antaranya Pertandingan Ratu Kebaya yang dimenangi peserta PAWE Beluran Sumini Mat Nor, Pertandingan Warga Emas Segak dimenangi PAWE Tenom Yunus Suadi dan Warga Emas Anggun diberi kepada peserta PAWE Sipitiang Dayangku Normala.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Warga Emas Hezleen Hassan,Timbalan Pengarah Persekutuan JPKA Roshayati Omar dan Pengarah Yayasan Kebajikan Sabah Rugayah Ag Besar.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Penduduk kampung bakal nikmati jalan raya lebih selesa

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular