HomeUtamaHukuman berat penghuni, penyewa kedai buat sambungan paip air haram dan kotorkan...

Hukuman berat penghuni, penyewa kedai buat sambungan paip air haram dan kotorkan kawasan premis – Christina

Read Time:1 Minute, 39 Second

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api Datuk Christina Liew mencadangkan tindakan hukuman berat oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) terhadap penghuni kedai dan penyewa kerana membuat sambungan paip air haram serta mengotorkan persekitaran di luar premis mereka dengan sisa dapur atau air kumbahan.

Beliau membuat cadangan itu selepas membuat pemeriksaan tapak untuk melihat kerja-kerja pembaikan yang telah siap di kompleks beli belah Sinsuran, dan kerja-kerja pembaikan yang sedang dijalankan di jalan belakang Bandaran Berjaya pada Selasa.

Daripada pemerhatian Christina, penghuni atau penyewa di premis kawasan tersebut terus melanggar undang-undang walaupun DBKK telah memberi amaran berulang kali.

“Ketika saya meninjau di kawasan tersebut, saya melihat terdapat paip air bocor, dan persekitaran yang kotor sangat tidak bersih. Saya terkejut melihat seekor tikus mati di atas turapan jalan belakang, dan ini boleh menjejaskan kesihatan awam.

“Apakah kesan yang kami berikan kepada pelancong dan pengunjung kami yang mengunjungi hotel bajet di Bandaran Berjaya?

“Mengenai perkara ini, DBKK mesti bertindak tegas sebagai penghalang, DBKK mesti serius mempertimbangkan denda RM5000 untuk dikenakan ke atas mana-mana pesalah yang ditangkap melakukan sambungan paip air haram atau mencemarkan persekitaran di luar premis mereka dengan sisa makanan. atau air sisa kumbahan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Christina yang juga Menteri Pelancongan, kebudayaan dan Alam Sekitar meluahkan rasa kecewa dengan segelintir sikap penghuni atau penyewa premis yang tidak bertanggungjawab dan ia sekali gus akan menggagalkan tujuan beliau menggunakan Tabung ADUNnya untuk terus mencantikkan bandaraya Kota Kinabalu.

Beliau berkata, setakat ini sepuluh jalan belakang di tengah-tengah bandar sedang menjalani kerja-kerja pembaikan besar termasuklah Sinsuran (lima), Bandaran Berjaya (tiga) dan Jalan Gaya (dua).

Menurut Christina, kerja-kerja pembaikan turapan jalan belakang di Sinsuran telah siap 80 peratus, sementara menunggu sentuhan akhir dan ketibaan penutup longkang baharu.

“Kerja-kerja yang sedang dijalankan di Bandaran Berjaya dan Jalan Gaya dijadualkan siap pada akhir tahun ini,” katanya sambil menambah kerja-kerja pembaikan juga telah dimulakan di dua jalan belakang Jalan Gaya sebagai persediaan untuk kerja-kerja konkrit.

RELATED ARTICLES
Utama

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular