HomeIsu tempatanKerencaman Politik Sabah: Gagasan Rakyat menjadi tulang belakang GRS & pilihan rakyat...

Kerencaman Politik Sabah: Gagasan Rakyat menjadi tulang belakang GRS & pilihan rakyat sabah

Read Time:2 Minute, 46 Second

Oleh Khairul Anwar Junus

Persidangan Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) kali pertama telah melabuhkan tirainya dengan menyaksikan Presiden Parti tersebut yakni YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Mohd Noor memberi bayangan pertama bahawa Pilihan Raya Negeri mungkin boleh diadakan seawal tahun hadapan.

Bayangan ini sudah tentu meningkatkan lagi semangat Rakyat Sabah dan ahli-ahli politik untuk terlibat dalam PRN akan datang yang seterusnya mampu menyumbang kepada kestabilan politik di Sabah.

Sudah tentu, nilai tempatan yang dibawa oleh PGRS dilihat mampu menarik minat ramai rakyat Sabah untuk menyertai dan mendukung perjuangan yang dibawa seterusnya menjadi tulang belakang kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Malah perjuangan PGRS bukanlah bersifat mahu menumbangkan sesiapa, jauh sekali menanam bibit-bibit politik dendam dan politik hasad dengki. Dengan kata-kata “Ini rumah kita, kitalah tuannya, rumah kita, kitalah penentu menu dan resipinya, rumah kita, kitalah yang jaga” sudah tentu mampu membuka mata rakyat Sabah bahawa perjuangan PGRS adalah untuk kebaikan dan masa depan Sabah.

Namun begitu, kerencaman politik Sabah menjadi persoalan kepada banyak penganalisis politik Sabah pada hari ini, kerana apa yang berlaku di Sabah Ketika ini adalah unik dan berbeza dengan negeri-negeri yang lain di Malaysia.

Kerencaman itu dilihat apabila Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Maju Sabah (SAPP) yang merupakan parti komponen Perikatan Nasional (PN) menjadi pembangkang di peringkat persekutuan namun menjadi kerajaan di peringkat negeri melalui ADUN lantikan, ianya ibarat mempunyai dua watak berbeza di medan yang berbeza.

Begitu juga dengan Parti Warisan Malaysia (WARISAN) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM), yang merupakan parti yang menyokong PMX untuk membentuk kerajaan perpaduan di persekutuan namun ADUN parti ini diletakkan di tempat duduk pembangkang di dalam Dewan Undangan Negeri Sabah. Ianya juga ibarat mempunyai dua watak berbeza di medan yang berbeza.

Malah, kerencaman itu juga dilihat apabila ada sebahagian ADUN UMNO telah dilantik sebagai Menteri dan Pembantu Menteri dalam Kabinet Kerajaan Negeri Sabah namun ada sebahagian ADUN UMNO pula duduk bersama dengan WARISAN dan PKDM di blok Pembangkang, ianya ibarat mempunyai dua watak yang berbeza di medan yang sama.

Malah ketika mesyuarat Kerajaan Perpaduan diadakan di Tanah Semenanjung, ketika Sarawak menghantar satu wakil yakni dari Gabungan Parti Sarawak (GPS), Sabah pula menghantar dua wakil yakni GRS dan juga WARISAN. Sudah tentu, ahli-ahli parlimen daripada GRS juga menambah kerencaman politik di Sabah apabila mereka tidak menganggotai mana-mana parti komponen GRS namun menjadi ahli langsung (direct member) kepada GRS.

Situasi yang sedang berlaku di Sabah adalah jauh berbeza dengan apa yang berlaku di negeri-negeri lain, tatkala di Tanah Semenanjung dan Sarawak mempunyai kerajaan dan pembangkang yang jelas, namun kita di Sabah mempunyai kerencaman yang sememangnya unik.

Namun begitu, saya melihat kerencaman politik ini bukanlah satu bentuk kelemahan dan kekurangan, jauh sekali menandakan ketidakstabilan politik di Sabah, ianya lebih kepada penerimaan Rakyat Sabah kepada kepelbagaian konsep kepartian yang ada di Malaysia.

Kita menerima ramuan politik di semenanjung, kita juga menerima ramuan politik di Sarawak dan kita tidak pernah lupa untuk untuk mengadunkan ramuan politik itu dengan acuan kita tersendiri yakni acuan Sabah.

Sudah tentu, acuan yang lahir dari ramuan-ramuan ini mampu menjadikan rakyat Sabah lebih matang dalam memilih pemimpin dan parti yang akan bertanding pada PRN yang akan datang.

(Penulis merupakan seorang Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial Dengan Kepujian (Kajian Politik & Pemerintahan) daripada Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) & Penganalisis Politik Sabah)

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

1,500 pengunjung meriahkan sambutan raya Pusat Alumni UMS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya