HomeUtamaSeludup spesis hidupan laut dilindungi bernilai lebih RM4.5 juta, dirampas

Seludup spesis hidupan laut dilindungi bernilai lebih RM4.5 juta, dirampas

Read Time:2 Minute, 40 Second

KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup spesis hidupan laut yang dilindungi bernilai lebih RM4.5 juta dalam Op Taring Gelora di perairan Kudat antara Pulau Banggi dan Pulau Bangsi pada Rabu lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pada 29 November 2023 jam lebih kurang 11.15 pagi semasa Op Taring Gelora, bot ronda Marin mengesan sebuah kapal mencurigakan berada di perairan antara Pulau Banggi dan Pulau Bangsi.

“Bot ronda Marin menghampiri kapal berkenaan untuk tujuan pemeriksaan. Malangnya kapal tersebut telah cuba membelok dan memecut ke arah kawasan cetek ke arah negara jiran. Ini menyebabkan kapal tersebut telah dapat dikejar apabila terkandas di kawasan yang cetek di antara Pulau Bangsi dan Banggi.

“Semasa pihak Marin cuba menaiki kapal ini, empat orang telah terjun daripada kapal itu menuju ke kawasan batu karang, pada ketika itu keadaan air cetek dan tidak lama kemudian, sebuah pam bot menuju ke tempat berkenaan untuk mengambil keempat-empat suspek dan dibawa menuju ke perairan antarabangsa.

“Hasil daripada pemeriksaan ini kita mendapati bahawa kapal ini membawa barang-barang dipercayai hasil laut yang terdiri daripada hidupan yang dilindungi,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Jauteh, hasil pemeriksaan atas kapal berkenaan mendapati banyak karung-karung mengandungi bahan-bahan kering hasil daripada hidupan laut.

“Kita percayai ada 300 guni, dipercayai mengandungi daging kering penyu. Apabila ditimbang, seberat 9,000 kilogram (kg), di mana setiap satu kg bernilai RM500 melibatkan jumlah keseluruhan 4.5 juta.

“Demikian juga kulit kerang dan siput pelbagai spesis ada 66 guni bernilai lebih kurang RM 37,500.

“Terdapat juga balat susu dan kuda laut dikeringkan, keseluruhan bernilai lebih daripada RM 300,000.

“Manakala rumpai laut dikeringkan bernilai lebih kurang RM 12,000. Gelembung ikan serta beberapa spesis hidupan lain lebih kurang RM 7,500. Sirip yu kering bernilai lebih kurang RM 10,000.

“Daging kering penyu, 9,000kg berdasarkan anggaran Jabatan Hidupan Liar, jumlah penyu yang telah ditangkap untuk menghasilkan berat seumpama ini lebih kurang 12,000,” jelas beliau.

Sehubungan dengan itu, Jauteh menasihatkan masyarakat, bukan sahaja masyarakat yang terlibat dalam penguatkuasaan undang-undang tetapi keseluruhan masyarakat termasuk yang terlibat dalam aktiviti laut.

“Contohnya para nelayan agar memberi kerjasama kepada pihak kerajaan melalui agensi penguat kuasa supaya sama-sama berusaha untuk memastikan spesis terlindung dalam laut ini kita sama-sama jaga, terutama sekali penyu yang merupakan salah satu daya tarikan kepada pelancongan di negara kita.

Dalam pada itu, Jauteh berkata, bahawa hasil laut tersebut tidak semestinya datang dari Sabah.

“Sebagai contohnya, empat orang yang terjun daripada kapal berkenaan telah diambil menggunakan pam bot dan melarikan diri ke kawasan perairan antarabangsa. Kita mengesyaki bahawa mereka ini bukan warganegara kita.

“Berdasarkan situasi dan senario ini, kita percaya bahawa daging-daging penyu ini bukan sahaja datang dari negara kita tapi dari negara jiran.

“Kita percaya bahawa penyu-penyu itu ditangkap di Laut Sulu dan Laut China Selatan,” katanya.

Beliau berkata, empat suspek tersebut sedang giat dikesan dan sekarang dalam siasatan oleh Jabatan Hidupan Liar dan pihak PDRM akan membantu sekiranya mereka memerlukan.

“Setakat ini kapal berkenaan kita akan tahan manakala pemiliknya, siasatan masih dijalankan adakah pemilik kapal ini terlibat secara langsung dalam aktiviti ini ataupun disewa golongan tertentu. Kapal ini didaftarkan di Semporna,”katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular