HomeUtamaSemangat luar biasa anak jadi kebanggaan keluarga

Semangat luar biasa anak jadi kebanggaan keluarga

Read Time:1 Minute, 45 Second

Kota Kinabalu : “Semangatnya untuk menghabiskan pengajian sangat luar biasa walaupun dalam keadaan terlantar sakit selepas di diagnos berdepan kanser tahap akhir,” kata Rojaliah Hanti,49.

Rojaliah merupakan ibu kepada Allahyarhamah Syasya Najihah Jee Rosly,28, graduan Ijazah Sarjana Sains (Proses Ekologi) Fakulti Biologi Tropika dan Pemuliharaan IBTP yang diumumkan sebagai penerima Ijazah Anumerta Secara Penyelidikan.

Ijazah anumerta itu disampaikan Yang di-Pertua Negeri Sabah yang juga Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Tun Juhar Mahiruddin pada Istiadat Konvokesyan UMS kali ke-25 di Dewan Canselor di sini pagi tadi.

Rojaliah mengakui anak sulungnya itu pernah menyuarakan hasrat untuk melanjutkan pengajian keperingkat lebih tinggi kerana minat yang mendalam terhadap haiwan.

“Dia pernah memberitahu kami yang dia mahu melanjutkan lagi pengajian keperingkat lebih tinggi sebab dia memang minat dengan haiwan, ini dia pernah katanya dihujung hayatnya.  Kita tahu kanser itu sukar untuk sembuh, tapi itulah hasratnya.

“Walaupun dia terlantar sakit dan dia tahu dia memang tidak ada harapan untuk sembuh seperti biasa tapi dia tetap teruskan pengajian hingga tamat dan Alhamdulilah syukur kami sekeluarga sangat bangga terutama apabila melihat semangat dia yang begitu kuat,” katanya.

Dalam pada itu, Rojaliah yang turut ditemani suaminya Jee Rosly J.D Awang,55, memaklumkan anaknya telah didiagnosis menghidap kanser oleh pihak hospital pada Januari tahun lalu.

“Secara jujur doktor sebenarnya tidak tahu secara spesifik kanser yang dihadapi tapi kita terima dengan seadanya,” katanya.

Sementara itu, Rojaliah dan keluarganya turut merakamkan penghargaan kepada semua tenaga pengajar khususnya para penyelia yang banyak membantu dalam pengajian anaknya.

“Dua minggu lalu, saya dapat WhatsApp dari dia punya pensyarah dan terima kasih banyak kerana banyak membantu dalam proses pengajiannya.  Mereka sangat-sangat membantu.

“Memang kami agak terkejut sebab dapat mesej yang dia dapat juga terima (ijazah). Kita tidak sangka untuk terima kerana ini adalah ketentuan tuhan.  

“Saya difahamkan data yang dia kumpul selama ini dalam kajian ialah lebih 8,000 data dan itu sangat-sangat banyak dan membanggakan kami semua dan saya harap ada orang lain mungkin boleh teruskan perjuangan dia yang terhenti sementara ini. Mudah-mudahan ada lagi lebih baik dari dia,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

UMS utamakan kebajikan pelajar, sedia bantu Crisnanalina daftar pengajian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular