Beaufort : Sebanyak 150 beg darah berjaya dikutip pada program derma darah anjuran P.P.A.B Lung Hwa Lumat yang diadakan di Dewan Terbuka Tokong Lung Hwa di sini baru-baru ini.
Pengerus Persatuan P.P.A.B Lung Hwa Lumat, Koh See King berkata, sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila turut menerima penyertaan masyarakat dari beberapa buah daerah berhampiran.
Antaranya seperti Beaufort, Membakut dan Kuala Penyu selain turut mendapat sokongan dari pasukan badan beruniform seperti Ibu Pejabat Polis Daerah Beaufort, anggota Balai Bomba dan Penyelamat Beaufort serta anggota petugas Kementerian Kesihatan Malaysia di daerah itu.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada para penderma yang hadir, walau pun program ini diadakan kali pertama namun sambutan amatlah menggalakkan, sedangkan kami pada awalnya hanya menyasarkan kutipan sebanyak 100 beg darah atau kurang,” katanya.
P.P.A.B Lung Hwa Lumat merupakan badan yang bertanggung jawab menguruskan Tokong Lung Hwa yang merupakan salah satu tarikan terbaru di Beaufort yang bukan sahaja menjadi tempat mengadakan upacara keagamaan bagi penganut agama Buddha, malah turut menjadi tarikan terbaru kepada pelancong untuk melawat kerana keindahan dan keunikan struktur bangunannya.
Tambah Koh lagi, program itu adalah sebagai usaha khidmat masyarakat persatuan itu, atas dasar untuk membantu bekalan darah bagi dua hospital, iaitu Hospital Beaufort dan Hospital Kuala Penyu.
“Ini yang pastinya adalah sebagai permulaan kepelbagaian program-program kemasyarakatan yang akan dianjurkan di masa akan datang, saya melihat program derma darah ini sebagai program yang akan dimasukkan di kalendar aktiviti persatuan pada tahun hadapan, setelah melihat sambutan penderma darah yang menggalakkan,” katanya.
Pada program kali pertama itu, P.P.A.B Lung Hwa mendapat kerjasama dari Tabung Darah Hospital Beaufort, Tabung Darah Hospital Kuala Penyu, Persatuan Persahabatan Hung Men Beaufort dan penyedia makanan kepada para penderma dan petugas dari Skuad Ar-Rayyan masjid Batu 60, Beaufort.