HomeIsu tempatanMaritim Malaysia, SPRM jalin kerjasama tangani rasuah

Maritim Malaysia, SPRM jalin kerjasama tangani rasuah

Read Time:1 Minute, 42 Second

Kota Kinabalu : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah dan Labuan komited untuk terus menjalin kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) khususnya dalam menangani ancaman rasuah di sektor maritim.

Pengarah Maritim Malaysia Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata, kerjasama erat yang terjalin itu mampu mampu meletakkan nama sebagai sebuah agensi keselamatan yang berintegiriti dalam penguatkuasaan undang-undang di kawasan perairan negara.

“Dalam mengekalkan integriti, kerjasama antara agensi-agensi penguatkuasaan adalah sangat penting.

“Hari ini (semalam), Maritim Negeri Sabah dan Labuan menyatakan komitmen untuk terus bekerjasama dalam menangani ancaman rasuah di sektor maritim dan menyokong usaha-usaha pencegahan yang diterapkan oleh SPRM,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy a/l Y.Subbiah di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah di sini semalam.

Kunjungan itu bertepatan dengan hasrat Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin, yang telah menggariskan integriti sebagai keutamaan yang perlu ada kepada semua warganya dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diberikan.

Hadir sama Timbalan Pengarah Operasi Negeri Kepten Maritim Mahmad Faizal Ahmad, Pegawai Memerintah Kapal Maritim (KM) Arau Kepten Maritim Salehuddin Zakaria dan Timbalan Pengarah Logistik Maritim Negeri Lt Kdr Maritim Shah Shiddiqq Abu Bakar.

Che Engku Suhaimi turut memaklumkan, pada pertemuan itu kedua-dua pihak turut membincangkan topik berkaitan pencegahan rasuah, integriti dalam melaksanakan tindakan undang-undang serta kerjasama di antara agensi-agensi penguatkuasaan negara dalam pelaksanaan operasi bersepadu di perairan negara.

Beliau turut menjelaskan, hasil daripada kunjungan tersebut, kedua-kedua pihak turut menyatakan kesepakatan untuk meningkatkan pertukaran maklumat dan kepakaran bagi memastikan tindakan pencegahan rasuah yang melibatkan aktiviti penguatkuasaan di perairan negara berkesan.

Terdahulu, SPRM Negeri Sabah turut merakamkan terima kasih kepada Maritim Malaysia atas kerjasama yang kukuh dalam melaporkan cubaan rasuah yang berlaku kepada kru KM Arau dalam siri operasi di sekitar Zon Maritim Kudat pada 11 Disember lalu.

Tindakan tepat anggota Maritim Malaysia membuktikan integriti pegawai dan anggota penguat kuasa Maritim Malaysia adalah amat tinggi. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

PKK Biz @ Akademia catat lebih RM20,000 nilai jualan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular