HomeUtamaMDPg bakal dinaik taraf kepada MPP dalam tempoh 90 hari

MDPg bakal dinaik taraf kepada MPP dalam tempoh 90 hari

Read Time:1 Minute, 33 Second

Penampang : Majlis Daerah Penampang (MDPg) akan dinaik taraf menjadi Majlis Perbandaran Penampang (MPP) dalam tempoh tiga bulan atau 90 hari dari hari ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, tempoh transisi itu penting bagi memastikan urusan pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan dapat dilaksanakan sepenuhnya sesuai dengan tujuan penaiktarafan itu nanti.

Katanya yang turut berharap agar warga kerja MDPg dapat melaksanakan tadbir urus yang cekap dan berintegriti, efisien dan efektif dalam tugasan yang diberikan selaras dengan pengiktirafan yang bakal diberikan nanti.

“Saya juga berharap agar warga kerja MDPg dapat mengambil pendekatan mendigitalisasikan proses-proses penyampaian perkhidmatan bagi memudahkan urusan pemegang taruh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT); mengambil pendekatan untuk mensejahterakan perkhidmatan dengan membangunkan ekonomi dan mencari sumber-sumber hasil baharu PBT; dan melaksanakan pengurusan kewangan yang mampan.

“Faktor-faktor ini amat penting bagi memacu pembangunan sesebuah PBT.  PBT merupakan satu entiti kerajaan ketiga yang begitu penting kerana PBT memberikan perkhidmatan terus kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran kiraan detik simbolik transisi MDPg kepada MPP di perkarangan Bangunan Wisma Majlis Daerah Penampang, di sini, hari ini.

Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, tugas menguruskan sebuah PBT merupakan satu tugas yang mencabar, terutamanya sebuah daerah yang aktif seperti Penampang. 

“Bagaimanapun, bagi menjadi sebuah PBT yang mampan dan progresif, kakitangan PBT perlulah mengambil anjakan paradigma dalam memberikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, Joachim brrkata, penjawat awam pada masa kini hendaklah sentiasa bersedia untuk berevolusi sesuai dengan peredaran dan kehendak pemegang taruh.

Katanya, sebarang keputusan atau dasar yang dilaksanakan perlulah mendapat maklum balas menyeluruh dengan penglibatan pemimpin-pemimpin masyarakat.

“Ahli-ahli Majlis yang dilantik merupakan wakil kepada masyarakat daerah Penampang, anda memainkan peranan penting, bukan sahaja dalam penyampaian maklumat daripada masyarakat tetapi juga mewakili PBT dalam memberikan pencerahan dan makluman dalam apa jua tindakan dan dasar yang dilaksanakan oleh PBT,” katanya. – SABAH MEDIA 

RELATED ARTICLES
Utama

Nurul Yanadido ke Hongkod Koisaan kali kedua

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular