HomeUtamaSESB belum diambil alih oleh kerajaan negeri

SESB belum diambil alih oleh kerajaan negeri

Read Time:1 Minute, 25 Second

KOTA KINABALU: Tenaga Nasional Berhad (TNB) masih lagi pemegang saham terbesar ke atas pemilikan syarikat utiliti elektrik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan belum diambil alih oleh Kerajaan Negeri Sabah yang memiliki 17 peratus saham dalam SESB.

Hanya kuasa kawal selia ke atas pengurusan industri elektrik di negeri Sabah yang dipulangkan kepada Kerajaan Negeri Sabah melalui penubuhan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS).

Ketua Pegawai Eksekutif, Ir.Ts. Mohd Yaakob Jaafar berkata, SESB akan terus komited untuk memastikan pengguna terus menerima bekalan elektrik yang mampan pada kadar yang munasabah.

“SESB akan berada di bawah seliaan dua pengawal selia iaitu Suruhanjaya Tenaga Malaysia (ST) dan ECoS tetapi misi dan visi SESB masih tetap sama iaitu memberikan perkhidmatan bekalan yang berdaya harap kepada semua rakyat di negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Pengambilalihan kawal selia ke atas bekalan elektrik oleh Kerajaan Negeri Sabah adalah selari dengan pelbagai inisiatif berkaitan yang telah dirancang serta dilaksanakan dan sekali gus membolehkan kerajaan negeri terlibat secara langsung dengan aktiviti industri gas dan minyak untuk manfaat rakyat Sabah.

Ir.Ts. Mohd Yaakob mengulas keputusan Persidangan Dewan Undangan Khas pada Rabu yang membincangkan mengenai dua Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan kawal selia ke atas bekalan elektrik di Sabah.

Dua RUU itu adalah Enakmen Bekalan Elektrik dan Enakmen Tenaga Boleh Diperbaharui, serta pindaan kepada Enakmen Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023 (untuk memasukkan fungsi kawal selia bekalan elektrik dan tenaga boleh diperbaharui).

Dengan termaktubnya dua Rang Undang-Undang ini maka Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447), Akta Suruhanjaya Tenaga 2001 (Akta 610), Akta Tenaga Boleh Baharu 2011 (Akta 725) dan Akta Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari 2011 (Akta 726) sedia ada di bawah ST tidak lagi terpakai untuk negeri Sabah.

RELATED ARTICLES
Utama

Nurul Yanadido ke Hongkod Koisaan kali kedua

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular