HomeIsu tempatanAbdul Somad dilantik Profesor Adjung UMS

Abdul Somad dilantik Profesor Adjung UMS

Read Time:1 Minute, 31 Second

Labuan :  Penceramah, pendakwah dan tokoh ulama terkenal, Ustaz Dr. Abdul Somad Batubara dilantik sebagai Profesor Adjung Fakulti Pengajian Islam (FIS), Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Watikah pelantikan telah disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Profesor Dr. Shahril Yusof yang mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor kepada Ustaz Dr. Abdul Somad dalam majlis ringkas yang berlangsung di Bilik Eureka, UMS Kampus Antarabangsa Labuan baru-baru ini.

Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif; Pengarah UMS KAL, Profesor Madya Dr. Mohd Rizal Abdul Hamid dan Dekan FIS UMS, Profesor Dr. Mohd Dahlan A. Malek.

Terdahulu, dalam ucapannya Prof. Shahril berkata pengiktirafan ini adalah hasil daripada pencapaian cemerlang serta sumbangan yang tidak ternilai yang diberikan Ustaz Dr. Abdul Somad dalam bidang pengajian Islam, dalam dan luar negara.

“Ustaz Dr. Hj. Abdul Somad Batubara, bukan sahaja merupakan seorang cendekiawan yang ulung tetapi juga seorang pemikir yang berdedikasi kepada kemajuan ilmu pengetahuan dan pendidikan di negara Indonesia, Malaysia dan nusantara, bahkan seantero dunia, baik melalui media sosial atau ceramah secara bersemuka.

“Oleh itu, pelantikannya sebagai Profesor Adjung bukan sekadar satu penghormatan peribadi tetapi juga sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik yang telah beliau capai,” katanya.

Katanya, Abdul Somad juga dapat membantu menyumbang pengalaman dalam bidang pengajian Islam serta berpotensi meningkatkan kualiti pengajaran dan penyelidikan di FIS dalam pengembangan kokurikulum yang relevan dan berkualiti selari dengan peredaran zaman.

“Semoga dengan pelantikan Ustaz Dr. Hj. Abdul Somad Batubara sebagai Profesor Adjung di FIS, UMS akan memberi inspirasi kepada semua warga universiti khususnya para pelajar untuk terus berusaha dan mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing.

”Insya-Allah kehadiran beliau akan membawa sinergi positif, kreatif dan semangat kerjasama yang akan menyemarakkan dan memperkayakan perjalanan akademik Fakulti Pengajian Islam dan Universiti Malaysia Sabah secara keseluruhannya,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO UMS

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

20 anak yatim Rumah Amal Kasih Kingfisher terima sumbangan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya