HomeUtamaSemua perayaan besar peringkat negeri dianjur secara rasmi oleh kerajaan negeri mulai...

Semua perayaan besar peringkat negeri dianjur secara rasmi oleh kerajaan negeri mulai tahun ini – Hajiji

Read Time:2 Minute, 37 Second

SANDAKAN: Mulai tahun ini, kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan menganjurkan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina dan Krismas peringkat negeri, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Mengumumkan perkara itu sempena Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2024 Peringkat Daerah Sandakan, beliau berkata ini bermakna semua perayaan besar peringkat negeri di Sabah akan dikendalikan secara rasmi oleh kerajaan negeri.

“Kerajaan telah memutuskan penganjuran perayaan Tahun Baharu Cina peringkat negeri akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri, seperti juga sambutan perayaan Aidilfitri dan Pesta Kaamatan,” katanya sempena majlis itu di Dewan Hakka di sini pada Ahad.

Majlis Rumah Terbuka itu anjuran Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Papat dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sandakan.

Dalam pada itu, Ketua Menteri berkata rumah terbuka setiap perayaan di negara ini perlu menjadi platform untuk menyemai, memupuk dan mempertahankan keharmonian
serta kerjasama dalam kalangan rakyat berbilang bangsa dan agama di negeri ini.

Beliau berkata seperti juga perayaan-perayaan yang lain antaranya Krismas, Aidilfitri, Deepavali dan Pesta Kaamatan yang diraikan oleh semua rakyat Malaysia, Tahun Baharu Cina adalah satu lagi perayaan besar yang penting.

“Justeru, marilah kita memanfaatkan sambutan perayaan seperti ini, bukan saja untuk meraikan Tahun Baharu Cina, tetapi juga menjadi platform mengeratkan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang bangsa dan agama di negeri ini.

“Sesungguhnya, semangat inilah ditambah dengan toleransi antara kaum adalah pengikat yang nyata untuk membawa negeri ini untuk terus maju ke hadapan.

“Berdepan dengan pelbagai cabaran untuk pemulihan dan kestabilan ekonomi, setiap daripada kita mempunyai tugas dan tanggungjawab yang amat besar. Saya menyeru kepada semua masyarakat Cina dan rakyat Sabah keseluruhannya untuk mengukuhkan jalinan kerjasama ini agar kita dapat menyediakan platform yang lebih kukuh dan terjamin untuk negeri ini,” katanya.

Hajiji berkata sambutan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2024 ini jelas membuktikan bahawa kerajaan negeri Sabah sentiasa mementingkan dasar kesaksamaan kepada semua perayaan tanpa mengira kaum dan agama di negeri ini.

“Inilah keistimewaan kita di Sabah, perbezaan agama, bangsa dan budaya tidak menghalang untuk kita bersama-sama meraikan setiap perayaan yang ada di negara ini. Malah, hubungan persaudaraan tetap utuh walaupun berbeza kepercayaan.

“Semoga tahun naga ini yang melambangkan kekuatan, kesihatan, harmoni dan tuah akan terus membawa Sabah terus maju ke hadapan dan rakyat hidup dalam keadaan aman damai.

“Saya berharap pada tahun ini juga kita dapat menangani pelbagai cabaran sama ada dalam aspek ekonomi dan kesihatan,” katanya.

Beliau juga meminta rakyat akan bersama-sama kerajaan negeri berganding bahu dalam menjayakan agenda pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Pelan ini yang dilancarkan pada tahun 2021 kini berada di landasan betul, dan diharapkan dengan sokongan berterusan daripada rakyat, ekonomi negeri akan terus kukuh sekali gus akan menarik lebih ramai lagi pelabur untuk datang ke negeri ini.

“Fokus kita tidak pernah lari dari meningkatkan pembangunan negeri dan ekonomi rakyat. Jika ini dapat diteruskan, saya yakin kita dapat melaksanakan pelbagai lagi program untuk kebaikan takyat di negeri ini pada masa akan datang,” katanya.

Turut hadir ADUN Tanjong Papat selaku Pengerusi Penganjur, Datuk Poon Ming Fung @ Frankie dan ADUN Karamunting merangkap Pengerusi bersama, Datuk George Hiew Vun Zin.

Ketua Menteri turut menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cuba bersama pimpinan masyarakat Tionghua Sandakan di Bukit Sentosa, Sandakan.

RELATED ARTICLES
Luar negaraUtama

Video terakhir Raisi sebelum helikopter dinaiki terhempas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular