HomeUtamaJKKK diminta mainkan peranan bantu kerajaan beri maklumat tepat kepada rakyat

JKKK diminta mainkan peranan bantu kerajaan beri maklumat tepat kepada rakyat

Read Time:2 Minute, 20 Second

TUARAN: Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) diminta memainkan peranan mereka selaku ejen transformasi dan wakil kerajaan yang sentiasa memberi penerangan dan maklumat tepat kepada rakyat.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, tugas JKKK antara keutamaan untuk memastikan rakyat tidak mudah terpengaruh dengan anasir jahat yang sentiasa berusaha memecahbelahkan rakyat dan menggugat kestabilan negeri dan negara.

“Salah satu tugas utama adalah untuk menjalinkan hubungan erat dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum selain membantu kerajaan menyebarluaskan
dasar serta pembangunan yang sudah dibawa dan akan dilaksanakan di negeri ini, khususnya inisiatif-inisiatif Hala Tuju SMJ,” katanya.

Hajiji berkata demikian semasa berucap di majlis penyampaian watikah pelantikan (2023-2025) kepada JKKK bagi DUN Sulaman dan Pantai Dalit di Dewan Seri Sulaman di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru kepada semua Pengerusi JKKK serta ahli-ahlinya agar sentiasa menjalankan perancangan strategik, menunjukkan kesungguhan dan ketekunan serta mengamalkan semangat bekerjasama sebagai satu pasukan dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat dan membangunkan kawasan masing-masing.

“Saya perlukan JKKK yang aktif dan komited membuat perancangan dan perlaksanaan program atau projek di kampung, di samping menggerakkan serta penglibatan komuniti setempat.

“Jangan pula apabila dilantik sebagai pemimpin, hanya mahu fikir projek sahaja, tidak mahu turun padang, tidak mahu bekerjasama termasuk meminggirkan mereka yang tidak sehaluan dengan kerajaan.

“Pengerusi dan ahli jawatankuasa JKKK perlu peka dengan setiap masalah penduduk di kawasan masing-masing dan menyampaikan maklumat berkaitan bantuan kerajaan kepada rakyat,” tegasnya.

Tambah beliau, Institusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung adalah satu entiti atau jentera yang amat penting di peringkat akar umbi.

Menurutnya, sejak penubuhannya pada tahun 1962, peranan dan fungsi JKKK terus relevan sehingga ke hari ini sebagai mata dan telinga serta penghubung antara kerajaan dengan rakyat sehingga ke akar umbi.

Justeru, Hajiji berkata kerajaan negeri terus komited untuk memperkukuhkan institusi ini khususnya dalam aspek kepimpinan dan kecekapan tadbir urus kampung.

“Ini seiring dengan komitmen kerajaan negeri yang komited untuk memastikan pembangunan ekonomi di kawasan bandar dan luar bandar diurus dengan sebaik mungkin dengan bantuan yang padu daripada JKKK,” ujar beliau.

Beliau juga menyarankan kepada semua wakil rakyat agar melibatkan JKKK dalam setiap perancangan dan pelaksanaan pembangunan di luar bandar.

Hajiji menggesa agar Pengerusi JKKK dan ahli jawatankuasa mengaktifkan semua biro, untuk tidak membantutkan usaha kerajaan membangunkan negeri dan membantu rakyat.

Terdapat 11 Biro Ahli Jawatankuasa dalam organisasi JKKK antaranya Biro Pembangunan Prasarana; Keselamatan dan Kesihatan; Pengurusan Kewangan; Ekonomi dan Keusahawanan; Kesejahteraan dan Keceriaan; Pendidikan dan Inovasi; Kebajikan dan Kesukarelawan dan Hal Ehwal Wanita dan Keluarga.

Hajiji berkata peranan biro-biro ini akan membawa satu tranformasi dan impak yang besar dalam membantu Pelan Hala Tuju SMJ yang diterajui Kerajaan GRS menyantuni dan membantu rakyat.

“Saya juga berharap agar semua JKKK berusaha meningkatkan pengetahuan dan kemahiran secara berterusan untuk memperkukuhkan keupayaan dan kompetensi sebagai pemimpin dan pentadbir di peringkat paling asas,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Perhimpunan #KamiMahuAir Sabah bermotifkan politik, meraih perhatian media – Shahelmey

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular