HomeIsu tempatanLebih 300 kilogram sampah berjaya dikutip menerusi program pembersihan pantai

Lebih 300 kilogram sampah berjaya dikutip menerusi program pembersihan pantai

Read Time:2 Minute, 9 Second

Kota Kinabalu : Sebanyak 313.44 kilogram sampah berjaya dikutip menerusi program pembersihan Pantai Likas yang dilaksanakan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan Yayasan Hijau Malaysia (YHM) di Taman Awam Teluk Likas di sini.

Program yang disertai 200 orang sukarelawan terdiri daripada warga kerja PETRONAS Wilayah Sabah dan Labuan, Badan-Badan Bukan Kerajaan tempatan, Pusat Ecocampus Universiti Malaysia Sabah dan penduduk setempat itu dilaksanakan menerusi program impak PETRONAS dan YHM serta mendapat kerjasama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Impactlution Sdn Bhd

Daripada jumlah sampah yang berjaya dikutip, sebanyak 69.92 kilogram daripadanya merupakan sampah yang bole dikitar semula.

Pembantu Menteri Kewangan II Sabah Tan Lee Fatt ketika berucap berkata, penyertaan syarikat korporat sangat dialu-alukan untuk terus menganjurkan program seumpama ini di pantai-pantai seluruh Sabah khususnya di Kota Kinabalu.

Ini kerana katanya, usaha untuk menjaga kebersihan tidak terletak di bahu Kerajaan atau Pihak Berkuasa Tempatan sahaja, malah ia melibatkan semua pihak.

Beliau menambah, semua pihak juga perlu mengubah sikap dan memberi komitmen yang serius terhadap penjagaan alam sekitar khususnya sungai dan pantai serta menjadikan ia sebagai amalan gaya hidup dalam kehidupan seharian.

Katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas berkata demikian semasa merasmikan Majlis Pelancaran Awal Projek Rintis Impak Sosial PETRONAS Menyemai Masa Hadapan dan Penutupan Program Pembersihan Pantai Likas di sini hari ini.

Sementara itu, Pengurus Besar Pejabat Wilayah PETRONAS Sabah dan Labuan Siti Ayu Abdul Wahab berkata, projek rintis yang dilaksanakan oleh PETRONAS itu adalah bertujuan memacu perubahan tingkah laku masyarakat dengan mewujudkan masyarakat yang lebih cakna terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Selain itu katanya, program seumpama itu juga memberi kesedaran kepada masyarakat mengeani pemanasan global dan perubahan iklim di samping meningkatkan kemahiran dan pengetahuan komuniti tempatan dalam elemen kitar semula dan pengurusan sisa buangan pepejal yang sistematik.

Beliau percaya pelaksanaan projek rintis ini mampu menyumbang penjanaan pendapatan kepada komuniti tempatan dengan jualan komersil produk kitar semula (upcycle product) yang bakal dihasilkan kelak.

Pelaksanaan projek rintis ini akan merangkumi tiga komponen utama iaitu program kesedaran awam (pembersihan pantai/sungai dan program pendidikan di sekolah), program peningkatan kemahiran (upskill) masyarakat setempat dan program pengumpulan sisa di pusat kitar semula yang memfokuskan kepada pengurusan sisa buangan terpilih iaitu plastik, minyak masak terpakai dan tekstil.

Buat permulaan, dua buah kampung di Kota Kinabalu telah terpilih menjadi lokasi pelaksanaan projek rintis impak sosial yang akan dilaksanakan bermula April 2024 iaitu Kampung Cenderamata II, Likas dan Kampung Warisan, Inanam.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Hijau Malaysia Dr. Nurul Muiz Murad, Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Leong Tze Fui dan Pengurus Kanan Pengurusan Impak Sosial PETRONAS Najiha Hambali.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

PKK Biz @ Akademia catat lebih RM20,000 nilai jualan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular