HomeIsu tempatanMRSM Ranau alu-alukan kumpulan pertama pelajar

MRSM Ranau alu-alukan kumpulan pertama pelajar

Read Time:1 Minute, 34 Second

RANAU: Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ranau mengalu-alukan kehadiran kumpulan pertama pelajar semalam sejak ia siap dibina sepenuhnya pada September tahun lalu.

Ini menandakan permulaan penting bagi kampus tersebut dalam memperkasakan
masyarakat melalui akses kepada pendidikan berkualiti.

Kampus MRSM Ranau yang dibangunkan oleh PETRONAS dengan kos RM132 juta adalah hasil daripada kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sabah dan MARA bagi memperkasakan ilmu dan mempertingkatkan akses kepada pendidikan berkualiti dalam kalangan pelajar Sabah sekali gus merangsang minat dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM).

Pengurus Besar Pejabat Wilayah PETRONAS Sabah dan Labuan, Siti Ayu Abdul Wahab, berkata, beliau teruja visi direalisasi dengan menyaksikan kumpulan pertama pelajar memulakannya perjalanan pendidikan mereka di MRSM Ranau.

“Ia sememangnya peristiwa bersejarah kerana ini menandakan lembaran baharu dalam komitmen kami untuk menyokong aspirasi Kerajaan Negeri Sabah dalam membangunkan potensi modal insan golongan muda dan bakat orang Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengetua MRSM Ranau, Ismail Badri berkata, beliau juga turut teruja mengalu-alukan 200 pelajar kumpulan pertama termasuk tingkatan 1 dan tingkatan 4 ke dalam keluarga MRSM Ranau.

“Saya sangat terharu melihat senyuman terukir di wajah pelajar dan ibu bapa yang hadir,” katanya.

Ismail berkata, MRSM Ranau berbeza dengan MRSM lain kerana persekitarannya yang kondusif terletak berhampiran kaki Gunung Kinabalu.

“Gabungan persekitaran, guru berpengalaman, dan kemudahan yang disediakan oleh PETRONAS diharap akan menghasilkan sistem pembelajaran secara holistik dan meningkatkan pencapaian pelajar.

“Kampus ini berkeluasan lebih 26,000 meter persegi, menyediakan ruang yang luas dan boleh menampung sehingga 450 pelajar.

“Ia dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk bangunan pentadbiran, blok akademik, pusat sumber, asrama pelajar, pusat pelajar, dewan makan, dewan serbaguna, astaka, surau, kediaman kakitangan, kediaman guru, bangunan sampingan, dan kemudahan sukan yang telah teliti dirancang untuk memenuhi keperluan pelajar, guru, dan pengurusan kampus,” jelas beliau.

Menurutnya, pada masa ini, MRSM Ranau mempunyai kekuatan kakitangan seramai 46 orang, termasuk 27 orang guru, 16 kakitangan sokongan dan tiga orang ahli pengurusan.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

FSSK UMS jayakan seminar pergerakan kesatuan sekerja di Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular