HomeUtamaKemarau di Sabah, jejas sektor pertanian khususnya tanaman padi

Kemarau di Sabah, jejas sektor pertanian khususnya tanaman padi

Read Time:1 Minute, 25 Second

KOTA KINABALU: Kemarau yang berpanjangan melanda beberapa kawasan di negeri ini mengakibatkan paras air sungai menurun sehingga 40 peratus menjejaskan sektor pertanian khususnya dalam penanaman padi.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (Mafi) Sabah, Datuk Seri Jeffrey Kitingan (gambar) berkata, penurunan paras air sungai 10 peratus hingga 40 peratus ketika musim kemarau ini turut menjejaskan penanaman padi di daerah seperti Tambunan dan Papar.

“Pertanian seperti penanaman padi memang terjejas sebab ia memerlukan air,” katanya selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Antara Jabatan Pengairan dan Saliran, Mafi dengan Shaanx Contruction Engineering (Malaysia) Sdn Bhd di sini, hari ini.

Mengulas lanjut tahap kesan dan bantuan kepada petani yang terjejas, Jeffrey berkata, kerajaan akan menyalurkan bantuan kepada petani yang terjejas berdasarkan jenis keperluan.

“Dari segi bantuan kepada petani yang terjejas, kita kena pastikan dahulu jenis bantuan yang diperlukan sama ada dari segi kewangan atau sebagainya.

“Jadi pada mesyuarat jabatan dan agensi esok kita dapatkan laporan dan boleh tahu nanti tahap mana kesan kemarau ini menjejaskan kepada ekonomi kita,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai majlis hari ini, Jeffrey berkata MoU berkenaan melibatkan pelaburan sebanyak RM17 bilion bagi projek tebatan banjir, pengairan dan saliran pelaburan ini mampu membantu ekonomi Sabah.

“Selain itu projek ini juga mampu menyediakan 20,000 peluang pekerjaan dan ia bagus untuk rakyat Sabah.

“Paling penting ia akan menyelesaikan masalah banjir di Sabah dan sistem pengairan dan keselamatan makanan akan turut mendapat impak daripada pelaburan ini,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa projek tersebut akan hanya dilaksanakan selepas kajian sungai-sungai yang dikenal pasti di 11 daerah di Sabah dilakukan.

“Kajian ini berfungsi untuk menilai kebolehlaksanaan menjalankan projek tebatan banjir, pengairan dan saliran di Sabah dan barulah kita boleh tandatangan memorandum perjanjian (MoA),” jelas beliau.

RELATED ARTICLES
Utama

Kementerian Kewangan berjaya tingkatkan pendapatan Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular