HomeIsu tempatan50 kanak-kanak asnaf terima sumbangan peralatan sekolah, duit raya

50 kanak-kanak asnaf terima sumbangan peralatan sekolah, duit raya

Read Time:1 Minute, 22 Second

Kota Kinabalu : Seramai 50 kanak-kanak asnaf dari beberapa buah sekolah di sekitar bandaraya Kota Kinabalu menerima sumbangan peralatan sekolah dan duit raya.

Sumbangan yang diserahkan sempena Karnival Sihat Waqaf 2024 yang diadakan di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu itu disampaikan Setiausaha Kehormat Yayasan Nur Jauhar (YNJ) Datuk Dr. Omar Raisul Assalam Syah Datuk AS Omar yang juga Pengerusi Perbadanan Baitulmal Negeri.

Turut menyampaikan sumbangan Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah Sabah dan Sarawak, KPJ Healthcare Berhad, Asmadi Mohd Bakri dan Pengarah Negeri BSN Khairul Hazwani.

Karnival yang berlangsung selama dua hari bermula semalam itu dianjurkan Hospital Pakar KPJ Sabah dengan kerjasama Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.

Pengurus Besar Hospital Pakar KPJ Sabah Mohamad Faizal Mohamed berkata, program itu merupakan satu inisiatif bersama antara Hospital Pakar KPJ dan BSN Sabah yang bermatlamat untuk  menyebarkan semangat Ramadan, mempromosi gaya hidup sihat, memberi kesedaran berkaitan usaha berwaqaf serta berkongsi sumbangan kepada anggota masyarakat yang kurang berkemampuan.

“Dalam program ini juga kita menganjurkan secara menyeluruh dari sudut usia merangkui dari kanak-kanak, remaja dan dewasa.

“Antaranya seperti pertandingan mewarna selain kesedaran kesihatan untuk remaja dan dewasa.  Kita juga memanggil Doktor Pakar untuk memberi taklimat berkaitan dengan kesihatan dan juga amalam di dalam perubatan khususnya pada bulan Ramadan,” katanya.

Dalam majlis tersebut Hospital Pakar KPJ Sabah menyampaikan sumbangan kepada Masjid Bandaraya Kota Kinabalu berjumlah RM5,000 serta menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM60,000 kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).

Pelbagai aktiviti telah diadakan sempena karnival yang berlangsung pada 17 Mac hingga 18 Mac 2024 ini antaranya Majlis Khatam Quran,  program derma darah, pertandingan mewarna, taklimat kesihatan, ceramah perdana dan pengagihan bubur lambuk. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

DBKK berjaya lupuskan 97 tan sampah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular