HomeIsu tempatanCuaca dingin, berangin tidak halang pendaki muda tawan Gunung Kinabalu

Cuaca dingin, berangin tidak halang pendaki muda tawan Gunung Kinabalu

Read Time:1 Minute, 57 Second

Ranau: Cuaca dingin dan berangin tidak mematahkan semangat tujuh pendaki untuk meneruskan misi menawan puncak Gunung Kinabalu baru-baru ini.

Kesemua pendaki yang terdiri daripada tiga lelaki dan empat wanita itu berjaya tiba di puncak pada jam 7 pagi biarpun suhu berada pada negatif dua darjah celcius.

Mereka ialah Anthony Onggoi, Alandev Anthony, Jocelyn Marciana, Ashton Xander De Anthony, Ivy Marcella Kayawa, Tanjong @ Edith Embagos dan Christella Raymond dari kelab Aki Nabalu Tamparuli.

Bagi peserta termuda Ashton, 12, perjalanan menuju ke puncak seakan dekat pada pandangan mata kasar namun hakikatnya masih jauh.

Ashton ketika mendaki Gunung Kinabalu

Berbekalkan niat, kesungguhan dan dan kata-kata semangat daripada ayahnya Anthony, Ashton antara yang pertama sampai ke puncak. 

“Walaupun berangin selain suhu berada pada paras negatif dua darjah celcius, saya berjaya untuk naik ke atas puncak. 

“Saya berasa bangga dan tidak menjangka dapat menamatkan pendakian hingga ke puncak,” katanya yang bersekolah di Tahun 6 Sekolah Kebangsaan (SK) Bantayan Tamparuli.

Sementara, itu Jocelyn berkata, pengalaman mendaki Gunung Kinabalu adalah amat mencabar bagi mereka yang mendaki gunung tersebut untuk pertama kali. 

Katanya, sewaktu menuju ke puncak, beliau menggigil kesejukkan ditambah lagi dengan angin yang kuat. 

 “Pendakian ini amat memenatkan namun dalam masa yang sama menyeronokkan,” katanya 

Terlebih dahulu kesemua mereka bermalam di Panalaban sebelum meneruskan pendakian pada Sabtu, jam 2.30 pagi.

Dalam pada itu, Anthony selaku ketua rombongan ekspedisi mendaki memaklumkan, pengalaman mendaki gunung tertinggi di Malaysia itu amat menguji mental.

“Walaupun saya telah lebih 10 kali mendaki Gunung Kinabalu, namun saya masih merasakan bahawa pendakian ini cukup mencabar. 

“Kami terpaksa menggunakan sepenuh tenaga, lebih-lebih lagi pada ketika cuba bertahan dalam keadaan yang sejuk. 

“Sebenarnya pada ketika menghampiri puncak, kami ada mengalami sedikit kesukaran untuk bernafas kerana situasi yang agak berangin dan dingin, namun ia sama sekali tidak mematahkan semangat untuk menggapai ke puncak tertinggi dan berjaya mendapat sijil dan pingat daripada Taman Kinabalu.

“Terima kasih juga kepada malim gunung yang sentiasa memberikan arahan dan mengawal pergerakan kami sehingga pergi dan balik dengan selamat,” katanya.

Pendakian bermula pada Jumaat, bermula di Pondok Timpohon menuju ke Panalaban sebelum bermalam di Laban Rata. 

Ekspedisi menuju ke puncak Low bersambung pada jam 2.30 pagi, para pendaki diberikan taklimat oleh malim gunung sebelum bergerak ke puncak yang mengambil masa tiga ke empat jam. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

UMS terima sumbangan untuk projek kajian dan pembudayaan STEM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular