HomeUtamaLRA Kogopon mula beroperasi dengan kapasiti penuh

LRA Kogopon mula beroperasi dengan kapasiti penuh

Read Time:1 Minute, 57 Second

Papar : Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon kini boleh beroperasi semula mulai malam ini dengan kapasiti penuh 40 juta liter air sehari (MLD).

Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali berkata, loji itu sebelum ini rosak selepas paip utama pecah sejak lebih sebulan lalu.

Katanya, loji itu juga sebelum ini hanya mampu memproses dan membekal 35 MLD.

“Alhamdulillah, mulai malam ini LRA Kogopon boleh beroperasi kapasiti penuh merawat 40 MLD. Setelah paip utama pecah dibaiki yang membolehkan rawatan pada kadar 35 MLD sehari.

“Hari ini pam rosak sejak lebih sebulan lalu telah siap dibaiki sebaik tibanya komponen pam gantian, maka kapasiti tambahan lima MLD air terawat akan boleh disalurkan kepada awam,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata, LRA Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS) Limbahau yang berkapasiti 10 MLD, masih ditutup sejak lebih sebulan lalu berikutan tahap kemasinan air yang tinggi di muka sauknya.

Katanya, satu lagi loji, iaitu LRA Jetama di Kampung Limbahau juga masih beroperasi separuh daripada kapasiti asal 10 MLD dengan menggunakan air yang diambil dari muka sauk di Kampung Kabang.

“Kita masih menanti agar kadar kemasinan air mentah di water intake Kampung Limbahau turun ke paras 120 mg/l untuk membolehkan kedua-dua loji di sana beroperasi seperti sedia kala iaitu LRA Jetama (sekarang hanya merawat lima MLD melalui bekalan water intake Kg Kabang) dan LRA EWSS yang telah lebih sebulan shutdown.

“Kita doakan hujan renyai seketika hari ini akan disusuli dengan hujan yang lebih kuat dalam masa terdekat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana daerah Papar Mohd Fuad Abdullah berkata, operasi menghantar bekalan air bersih pada hari ini dilaksanakan di 18 lokaliti di seluruh Papar.

Katanya, penghantaran bekalan air bersih melibatkan 11 buah lori sewaan PKOB, 15 buah lori agensi kerajaan dan enam buah lori sukarelawan yang melibatkan 200 petugas daripada 27 agensi kerajaan, swasta dan NGO bekerjasama melaksanakan operasi agihan air.

“Selain itu Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) meneruskan usahanya merawat air Sungai Papar-Mandalipau menerusi kaedah ‘Water Sanitation and Hygine’ (WASH).

Ketua pasukan WASH Azryan Ismail

“Pada hari ini, pasukan tersebut berjaya menghasilkan air bersih sebanyak 6,360 liter untuk diagihkan kepada penduduk kampung.

“Selepas penelitian sampel air oleh Jabatan Air Daerah Papar, air yang dirawat itu disahkan menepati piawaian dan selamat untuk digunakan,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Enam rumah musnah terbakar di Kampung Unta, Lahad Datu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya