HomePendapatRakyat Malaysia wajar kuasai BM, BI dengan baik selepas 11 tahun sesi...

Rakyat Malaysia wajar kuasai BM, BI dengan baik selepas 11 tahun sesi persekolahan

Read Time:6 Minute, 56 Second

Oleh WAN AZRAIN ADNAN

1. Baru-baru ini, Persidangan Dewan Rakyat kecoh ekoran beberapa Ahli Parlimen menyuarakan perasaan tidak puas hati terhadap Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia. Ahli-ahli Parlimen tersebut mendakwa tidak dapat memahami ucapan serta penerangan yang di berikan oleh Menteri berkenaan di dalam Bahasa Melayu.

2. Menurut Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, Peraturan 8 menyatakan bahawa: Bahasa rasmi Majlis ialah Bahasa Malaysia, tetapi Tuan Yang di-Pertua boleh membenarkan penggunaan Bahasa Inggeris. 

3. Ini bermakna Ahli Parlimen mesti menggunakan Bahasa Malaysia semasa berucap atau berbahas di Persidangan Dewan Rakyat. Namun begitu, Ahli Parlimen di berikan kelonggaran untuk menggunakan Bahasa Inggeris agar mereka dapat menyampaikan perbahasan dengan baik demi kepentingan rakyat.

4. Kekecohan di Parlimen tersebut adalah sebahagian daripada isu besar mengenai penguasaan bahasa oleh rakyat Malaysia. Isu ini sering kali mencetuskan perbahasan hangat di seluruh negara, tanpa sebarang penyelesaian. Malah ianya sudah menjadi polemik politik, yang akhirnya memberi lebih keburukan dari kebaikan kepada isu berkenaan.

5. Secara ringkas-nya, isu besar ini melibatkan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Ramai rakyat Malaysia, terutamanya yang bukan berbangsa Melayu, tidak dapat menguasai Bahasa Melayu dengan baik. Manakala, ramai rakyat Malaysia, terutamanya berbangsa Melayu, tidak dapat menguasai Bahasa Inggeris dengan baik. Inilah dilema negara masakini.

6.  Di bawah Perlembagaan Persekutuan, Perkara 152 memperuntukkan bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan. Kebijaksanaan Penggubal Perlembagaan/ Framers of Constitution telah mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa utama yang dapat membina perpaduan rakyat, yang terdiri dari pelbagai bangsa, bahasa, budaya, agama dan negeri.  

7. Maka, setiap rakyat Malaysia yang mendukung Rukun Negara sewajarnya memiliki penguasaan Bahasa Melayu yang tinggi, membentuk asas jatidiri sebagai rakyat Malaysia. Ini tidak bermakna semua rakyat Malaysia di tuntut memiliki penguasaan Bahasa Melayu yang tinggi seumpama Ahli Linguistik mahupun Profesor Bahasa. 

Tetapi memadai dapat berkomunikasi Bahasa Melayu dengan fasih, yakni boleh menulis, membaca, mendengar serta menutur dengan baik. 

8. Sudah pasti Ahli Parlimen, yang menduduki salah satu daripada tiga tiang kerajaan, iaitu: Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman, sepatutnya memiliki penguasaan Bahasa Melayu yang baik, dan menjadi contoh kepada seluruh rakyat Malaysia. Tambahan lagi, sebagai Penggubal Undang-Undang, Ahli Parlimen mesti mendukung Keluhuran Perlembagaan, termasuklah memartabatkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, serta sebagai bahasa perpaduan. 

9. Justeru itu, agenda memartabatkan Bahasa Melayu mestilah bermula di Parlimen, sesuai dengan prinsip Kepimpinan Melalui Teladan. Sekiranya Ahli Parlimen sendiri gagal untuk menjunjung kedudukan Bahasa Melayu, maka segala usaha memartabatkan Bahasa Melayu samada di sekolah, di sektor awam mahupun di sektor swasta, akan menemui kegagalan. You must walk the talk…

10. Fakta menarik: Muhammad Zakwan Mohd Izam et al telah menjalankan satu kajian bertajuk “Penukaran Kod dalam Korpus Hansard Malaysia: Analisis Berpandukan Korpus” untuk meneliti percampuran kod antara Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris semasa Persidangan Parlimen ke-13 (2013 – 2018). Kajian tersebut mendapati peratusan penukaran kod Bahasa Melayu-Bahasa Inggeris kerap berlaku, pada tahap hampir 25%.

Penukaran kod ialah amalan bertukar dan mencampurkan bahasa ketika berkomunikasi.

11. Pada masa yang sama, ramai juga rakyat Malaysia yang tidak dapat menguasai Bahasa Inggeris dengan baik. Samada di Malaysia ataupun di dunia, Bahasa Inggeris ialah bahasa utama yang di gunakan untuk pelbagai urusan di dalam pelbagai bidang, termasuklah – perniagaan, pendidikan, penyelidikan, diplomasi, perundangan, media, sukan.

12. Oleh yang demikian, kelemahan Bahasa Inggeris boleh memberi kesan negatif kepada rakyat dan negara. Rakyat yang tidak fasih Bahasa Inggeris akan menghadapi kesukaran di dalam kerjaya. Di samping itu, ini juga boleh menjejaskan daya saing serta kedudukan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelaburan yang menarik, dan akhirnya melemahkan prestasi ekonomi negara.

13. Pada akhir tahun 2023, Pro Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah berkata bahawa penguasaan Bahasa Inggeris telah merosot akibat kelemahan sistem pendidikan negara. Akibatnya ramai graduan hilang peluang pekerjaan kerana tidak dapat berkomunikasi Bahasa Inggeris secara efektif. Malah, beliau turut menyatakan bahawa tiada kekuatan politik/ political will untuk melaksanakan reformasi sistem pendidikan negara. 

14. Maka, sekolah ialah kunci utama untuk rakyat Malaysia menguasai kemahiran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Merujuk kepada keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 – 2022, ramai pelajar telah mencapai gred Cemerlang (A+, A, A-): Bahasa Melayu (sekitar 32%) dan Bahasa Inggeris (sekitar 25%).

15. Namun begitu, ramai juga yang telah mendapat keputusan yang lemah, iaitu gred (D, E, Gagal): Bahasa Melayu (sekitar 20%) dan Bahasa Inggeris (sekitar 42%). 

16. Justeru itu, Kerajaan Malaysia wajar menyediakan dasar dan kurikulum pendidikan yang terkini serta konsisten agar rakyat Malaysia dapat berkomunikasi Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris secara efektif. Dasar pendidikan yang tidak konsisten/ flip-flop sudah pasti akan merencatkan agenda perpaduan dan pembangunan negara.

17. Sebagai contoh. Dasar pembelajaran Bahasa Inggeris berubah-ubah dalam tempoh 20 tahun lalu. Pada tahun 2003, Kerajaan Malaysia telah melaksanakan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah. Dasar PPSMI ini di laksanakan untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris, dan juga untuk meningkatkan penguasaan ilmu Sains dan Matematik yang rata-ratanya di hasilkan dalam Bahasa Inggeris.

18. Namun begitu, dasar PPSMI ini telah di mansuhkan sepenuhnya pada tahun 2012 setelah mendapat tentangan berterusan dari pelbagai pihak, termasuklah – pelajar, ibu bapa, guru, badan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis bahasa. Tentangan tersebut berlandaskan bahawa dasar PPSMI telah memberi kesan negatif kepada para pelajar dan guru, terutamanya di sekolah luar bandar.

19. Malah, usaha untuk memperkenal semula dasar PPSMI pada tahun 2020 juga telah mendapat tentangan dan gagal di laksanakan. 

20. Sebagai ganti kepada PPSMI, Kementerian Pendidikan Malaysia telah melaksanakan Program Dwibahasa/ Dual Language Programme (DLP) di sekolah, bermula tahun 2016. Di bawah DLP, sekolah di beri pilihan untuk menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam Bahasa Inggeris sepenuhnya bagi mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

21. Pada pertengahan Mac 2024, semasa Persidangan Dewan Rakyat, Menteri Pendidikan Malaysia telah menyatakan bahawa lebih 2,500 buah sekolah kini melaksanakan DLP, merangkumi pelbagai jenis sekolah, termasuklah – sekolah berasrama, sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah agama. Sejak DLP di perkenalkan, dalam tempoh 8 tahun, penglibatan sekolah telah meningkat 642%: 337 (2016), 1,190 (2017) 1,342 (2018), 1,357 (2019), 2,259 (2020), 2,298 (2021), 2,366 (2022), 2,501 (2024).

22. Namun begitu, angka ini masih kecil berbanding dengan jumlah sekolah di seluruh negara, iaitu lebih 10,000 buah sekolah. Ini bermakna majoriti pelajar masih tidak dapat menikmati kelebihan DLP. Sekiranya perkara ini berpanjangan, akan lahirlah kelompok pelajar yang berlainan ‘darjat’ dengan tahap penguasaan bahasa dan ilmu yang berbeza.

23. Pada masa yang sama, di dalam keghairahan untuk menambah-baik pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah, agenda memartabatkan Bahasa Melayu pula tidak boleh di anak-tirikan, dan di tentang oleh mana-mana pihak.

24. Sebagai contoh. Ada pihak yang mempertikaikan keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia memperkenalkan Ujian Pengesahan Literasi Bahasa Melayu (UPLBM) untuk pelajar Tahun 6 di semua sekolah vernakular, iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), sebagai penilaian untuk memasuki Sekolah Menengah Kebangsaan. 

Sekiranya gagal UPLMB, pelajar berkenaan akan di tempatkan di kelas peralihan selama satu tahun di sekolah menengah.

25. Selain itu, pelajar di sekolah terbabit perlu mencapai Tahap Penguasaan TP4 hingga TP6 bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, semasa Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) di sekolah.

26. Pada awal tahun 2023, Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) di laporkan telah mempertikai keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menggunakan bank soalan yang sama untuk mata pelajaran Bahasa Melaysia semasa Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA), yang di laksanakan di semua sekolah seluruh negara.

27. Pengerusi Jiao Zong mendakwa penggunaan bank soalan yang sama semasa UASA adalah tidak sesuai memandangkan buku teks dan waktu pembelajaran Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan adalah berbeza:

 Sekolah Kebangsaan: antara 160 – 192 jam setahun

 Sekolah Jenis Kebangsaan: antara 128 – 160 jam setahun

28. Malah, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), iaitu ujian penilaian utama sekolah rendah yang di laksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia suatu ketika dahulu, menggunakan kertas soalan berbeza untuk pelajar Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan.

29. Usaha menguasai kemahiran bahasa ini tidak wajar di lihat sebagai zero-sum game, di mana penguasaan satu bahasa akan melemahkan penguasaan bahasa lain. Sebaliknya, rakyat Malaysia sepatutnya dapat menguasai Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dengan baik selepas 11 tahun sesi persekolahan.

30. Sungguh malang isu penguasaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris ini masih di bahaskan sehingga kini. Sepatutnya, setelah negara merdeka selama 66 tahun, rakyat Malaysia bukan sahaja dapat berkomunikasi dwi-bahasa/ bi-lingual, tetapi berbilang bahasa/ multi-lingual.

RELATED ARTICLES
Pendapat

Anak Sabah akan dilengkapi dengan kemahiran TVET, mampu bersaing dalam pasaran...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya