HomeUtamaMUIS beri perhatian mendalam terhadap integriti dalam pentadbirannya - Arifin

MUIS beri perhatian mendalam terhadap integriti dalam pentadbirannya – Arifin

Read Time:1 Minute, 58 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

PAPAR: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) sentiasa memberikan perhatian mendalam terhadap integriti dalam pentadbirannya, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Exco Agama serta Exco Pendidikan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Katanya, orang ramai tidak perlu bimbang akan wang zakat yang disalurkan kerana ia sentiasa diaudit dan dipantau setiap tahun.

“Jangan risau mengenai wang zakat, lagipun bahagian zakat sentiasa diaudit dan dipantau. Sekiranya ada keraguan boleh rujuk ke MUIS dan insya Allah kita sentiasa memberikan perhatian yang mendalam terhadap integriti di MUIS,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program Penyampaian Sumbangan dari Pusat Zakat Sabah kepada 150 pelajar di Dewan SK Bongawan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut perkara itu, Arifin turut menekankan dan memastikan wang zakat disampaikan kepada yang berhak menerimanya.

“Saya juga tekankan semua wang zakat yang berhak terima, kita sampaikan seperti kepada golongan asnaf, fakir, miskin dan fisabillah, sebelum akhir tahun semua kita sampaikan sebab memang hak mereka, dan asnaf yang lain kita tunaikan seperti untuk pendidikan anak-anak, semua kita laksanakan, melainkan Asnaf Amil,” jelasnya.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata, tiada isu mengenai penyelewengan wang zakat di Sabah.

“tiada isu mengenai penyelewengan wang zakat, insya Allah.

“Empat tahun audit bersih dan saya sendiri jadi saksi untuk penerimaan setiap tahun di Kuala Lumpur dan pada tahun ini mudah-mudahan kita akan mendapat rekod bersih,” katanya.

Malah katanya, hasil kutipan zakat juga meningkat dari tahun ke tahun.

“Kutipan zakat juga ada peningkatan, tahun lalu RM140 juta lebih dan sebelum itu RM130 juta dan tahun sebelum tu RM120 juta ertinya 10 juta setiap tahun meningkat hasil usaha daripada kempen dan kerja keras bahagian zakat dan fitrah serta sumbangan daripada syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Selain yang paling banyak tunaikan zakat adalah zakat penggajian daripada guru, pegawai perkhidmatan awam, polis, tentera dan sebagainya,” katanya.

Terdahulu media melaporkan MUIS menafikan dakwaan salah guna kuasa berkaitan penggunaan wang zakat seperti tular di laman media sosial, baru-baru ini.

Yang di-Pertua MUIS, Datuk Yahya Hussin dalam kenyataannya menyangkal dakwaan Ketua Pegawai Eksekutifnya membuat beberapa arahan pembayaran bonus kepada kakitangan dengan menggunakan sumber Tabung Zakat tanpa proses kelulusan.

“Kita menafikan juga dakwaan Ketua Pegawai Eksekutif MUIS mengarahkan pemindahan wang Tabung Zakat ke Tabung Am (Pengurusan) berjumlah RM14 juta tanpa proses kelulusan.

“Semua tuduhan berkenaan adalah tidak berasas dan suatu fitnah yang dibuat dengan niat jahat untuk menjatuhkan reputasi MUIS serta pentadbirannya,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular