HomeIsu tempatanMaritim Malaysia tahan bot bersama muatan 500 liter petrol tanpa permit

Maritim Malaysia tahan bot bersama muatan 500 liter petrol tanpa permit

Read Time:1 Minute, 27 Second

Tawau : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya merampas sebuah buah bot penumpang tempatan yang membawa muatan 500 liter bahan api tanpa sebarang permit dalam kejadian awal pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, dalam operasi yang dijalankan pihaknya berjaya mengesan sebuah bot penumpang dalam keadaan mencurigakan bergerak laju dari Perairan Tawau menuju ke Pulau Sebatik pada jam 9.40 pagi.

“Semasa bot peronda Maritim Malaysia menghampiri bot tersebut untuk pemeriksaan, juragan bot tersebut telah bertindak memecut laju ke jeti CIQ Tawau dan bertindak melarikan diri dengan meninggalkan bot dan muatan.

“Pemeriksaan ke atas bot penumpang tersebut mendapati terdapat lebih 20 gelen bahan api jenis petrol dipercayai cuba diseludup keluar tanpa sebarang kebenaran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Shahrizan berkata, bot serta muatan tersebut dirampas seterusnya dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Tawau untuk disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Katanya, kesemua barangan termasuk bot penumpang, enjin bot dan muatan barangan disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM43,000.

“Modus operandi yang digunakan oleh juragan dengan membawa bahan api tersebut dalam kuantiti yang kecil namun secara berulang perlu dibanteras bagi mengelakkan sindiket penyeludupan membawa barang kawalan tersebut ke negara jiran.

“Penguatkuasaaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang tanpa mengira kuantiti barangan yang dibawa, khususnya di perairan Tawau,” katanya.

Menurutnya lagi, Maritim Malaysia memandang serius terhadap segala aktiviti jenayah rentas sempadan.

“Aset-aset ronda akan sentiasa bersiap sedia untuk diatur gerak pada bila-bila masa dalam menghadapi sebarang situasi.

“Sebarang maklumat berkaitan jenayah di laut boleh disalurkan terus ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau MERS 999,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

UMS teroka kerjasama antarabangsa dalam bidang sains makanan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular