HomeIsu tempatanSaringan Sugandoi Kaamatan Tuaran Ahad ini

Saringan Sugandoi Kaamatan Tuaran Ahad ini

Read Time:2 Minute, 25 Second

Tuaran: Sesi pemilihan bagi menentukan finalis pertandingan Sugandoi Kaamatan daerah Tuaran akan diadakan pada Ahad ini bertempat di Dewan Tun Hamdan Tamparuli.

Pengerusi penganjur yang juga Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli, Herman Tunggiging berkata, sama seperti tahun sebelumnya, Sugandoi Kaamatan dibuka kepada tiga kategori iaitu Terbuka, Dazanak dan Songkotoun.

“Beberapa minggu lepas kita telah mengadakan mesyuarat pertama dan kedua bagi memilih senarai Jawatankuasa Sugandoi Kaamatan Daerah Tuaran 2024 dan seterusnya membincangkan perkara berkaitan demi penambah baikan, serta penetapan terbaharu yang dikeluarkan pihak Jawatankuasa Sugandoi Peringkat Negeri,” katanya.

Herman berkata, semua peminat seni nyanyian untuk dipelawa memeriahkan sesi saringan tersebut, dan mengambil peluang menyerlahkan bakat mereka, sekaligus menjadi wakil Daerah Tuaran bagi ketiga-tiga kategori berkenaan.

Katanya, sehingga kini kategori Terbuka menyaksikan seramai 30 peserta mendaftar, tiga orang bagi kategori Dazanak, manakala hanya satu pendaftaran diterima bagi kategori Songkotoun setakat ini sejak diiklankan beberapa minggu yang lalu.

“Mungkin belum ada yang berani menyahut cabaran dalam kalangan veteran kita, atau mereka sengaja menunggu pada saat akhir (21 April) untuk hadir mendaftar,” katanya.

Daerah Tuaran telah berjaya melahirkan Juara Sugandoi Terbuka Peringkat Negeri Sabah sebelum ini seperti Rozza Rothman (Juara Bintang Kaamatan Peringkat Negeri 1995), Apprilissa Sue Ann (Juara Sugandoi Negeri 2015), Jacinda Faye (Juara Sugandoi Terbuka Peringkat Negeri 2016), dan Jesse Amanda (Juara Sugandoi Dazanak Peringkat Negeri Kategori 2022).

Menurut Herman, penyertaan pertandingan Sugandoi Kaamatan Peringkat Daerah Tuaran 2024 juga tertakluk kepada syarat-syarat peringkat Negeri seperti; peserta hendaklah seorang Warganegara Malaysia dari suku kaum KadazanDusun atau salah satu ibu/bapa atau Datuk/Nenek merupakan seorang KadazanDusun.

Selain itu, mana-mana peserta yang pernah memenangi gelaran Johan Sugandoi Dazanak, Sugandoi Terbuka atau Sugandoi Songkotoun Kaamatan Peringkat Negeri Sabah pada tahun-tahun sebelumnya, juga tidak dibenarkan untuk menyertai pertandingan ini.

Umur bagi kategori Sugandoi Terbuka kali ini ialah 17 tahun ke atas, Songkotoun (60 tahun ke atas), dan Dazanak (12 tahun ke bawah).

Hadiah bagi kategori Sugandoi Terbuka adalah wang tunai berjumlah RM2,000, Naib Juara (RM1,500), Ketiga (RM1,000) dan Keempat (RM800), manakala Anugerah Persembahan Terbaik akan menerima wang tunai RM400, sementara Saguhati bakal menerima RM300.

Hadiah Juara Sugandoi Dazanak adalah sebanyak RM800, Naib Juara (RM600), Ketiga (RM500), Persembahan Terbaik (RM300) dan Saguhati (RM200).

Manakala wang tunai RM1000 pula bakal menanti Juara Sugandoi Songkotoun, Naib Juara (RM800), Ketiga (RM600), Persembahan Terbaik (RM300) dan Saguhati (RM200).

Yuran Pendaftaran Sugandoi Terbuka dan Sugandoi Dazanak adalah RM30, manakala yuran Sugandoi Songkotoun RM20.

Sebarang maklumat lanjut dan bagi tujuan pendaftaran bolehlah menghubungi Dickler Mailson  (0128016257), Rozza Rothman (0168249277), Priscilla Menson (0168582107) dan Anati Ag Bair (0149521880).

Mereka yang berminat boleh mendaftar secara online atau pun hadir pada 21 April ini di Dewan Masyarakat Tun Hamdan bermula jam 10 pagi.

Untuk rekod, tuan rumah bagi Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah pada tahun ini ialah daerah Ranau bertemakan “Kaamatan, Melangkaui Keterjaminan Makanan (Kaamatan Beyond Food Security), atau dalam bahasa kadazan-dusunnya, “Kaamatan, Poingalib Kohimaganan Taakanon”.- SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Pelaksanaan NMM mampu tingkat kesedaran awam terhadap penjagaan kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular