HomeUtamaJanakuasa solar terapung pertama di Sabah bakal dilaksanakan

Janakuasa solar terapung pertama di Sabah bakal dilaksanakan

Read Time:2 Minute, 4 Second

Kota Kinabalu: Empangan Babagon di Penampang bakal dijadikan sebagai tapak projek tenaga solar terapung yang pertama di negeri ini yang berkapasiti 15 Megawatt (MW) tenaga elektrik.

Projek itu akan dilaksanakan Jetama Sdn Bhd (Jetama) selaku syarikat konsesi air yang mengurus Empangan Babagon dan merawat air mentah yang menjadi sumber air mentah utama penduduk sekitar bandar raya ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Jetama Ahmad Naim Uddang berkata, projek seumpama itu akan dapat mengukuhkan lagi kedudukan Jetama sebagai pemain berinovasi di dalam industri tenaga diperbaharui selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Katanya, projek itu adalah susulan kejayaan projek solar pertamanya yang dilaksanakan di Labuan dan akan mula dilaksanakan dalam masa terdekat.

Menurutnya, pelaksanaan projek loji solar berskala besar (LSS) itu menjadikan Jetama kini dikenali sebagai antara peneraju dalam industri kelestarian tenaga di samping memegang konsesi air selaras misinya dalam ‘Mentakrifkan Semula Air dan Tenaga’.

“Jetama berjaya melaksanakan projek LSS berkapasiti 10 MW di Labuan. Projek ini mencapai tarikh operasi komersial pada Februari lalu dan kini menjana pendapatan tambahan yang signifikan kepada Jetama selama tempoh 21 tahun.

“Dalam masa yang terdekat ini, Jetama bakal mengorak sejarah baharu dengan rancangan untuk melaksanakan projek solar terapung atau berkapasiti 15 MW di Empangan Babagon tidak lama lagi.

“Projek pertama di Sabah itu akan mengukuhkan lagi kedudukan Jetama sebagai pemain berinovasi dalam industri tenaga diperbaharui selaras dengan pelab pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sambutan Aidilfitri Jetama, di sini, malam tadi dan turut dihadiri Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun dan Pengerusi Jetama, Datuk Yusof Abdul Mannan.

Sementara itu, Ahmad Naim berkata, perkara ini juga turut membuktikan komitmen syarikat konsesi itu dalam mendokong dasar Kerajaan negeri Sabah dalam memacu inovasi hijau dan kelestarian alam sekitar.

Katanya, pengurusan sisa buangan terjadual merupakan salah satu cabaran yang dihadapi oleh mana-mana Loji Rawatan Air (LRA) di seluruh Malaysia.

“Pengurusan dan pelupusan sisa buangan itu menelan perbelanjaan yang amat tinggi sehingga mencapai puluhan juta ringgit kerana perlu dilupuskan mengikut garis panduan yang ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Jetama adalah syarikat konsesi dan operator air pertama di Sabah berjaya menukarkan sisa buangan terjadual ini kepada batu-bata atau lebih dikenali sebagai ‘Jetama Eco-Brick’. Projek inovasi dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) ini adalah satu langkah holistik dalam menyelesaikan masalah pengurusan sisa buangan terjadual LRA.

“Ia secara tidak langsung menyumbang kepada penjimatan hampir mencecah RM65 juta kepada Jetama. Projek inovasi ini juga mendapat pengiktirafan Konvensyen Asia Water 2024 di Kuala Lumpur beberapa hari lalu,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

KGKS terima geran PHEKS terbesar berjumlah RM56,000

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular