HomeUtamaJENDELA : Capaian internet catat peningkatan bagi kawasan berpenduduk

JENDELA : Capaian internet catat peningkatan bagi kawasan berpenduduk

Read Time:1 Minute, 43 Second

Pensiangan : Sebanyak 19 daripada 55 buah menara telekomunikasi baharu dibawah pelaksanaan projek Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di kawasan Parlimen Pensiangan berjaya didirikan sehingga Februari lalu.

Ahli Parlimen Pensiangan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, manakala baki sebanyak 36 buah menara telekomunikasi lagi sedang dalam proses pelaksanaan.

Katanya, projek JENDELA yang merupakan salah satu usaha beliau sebelum ini adalah bagi memastikan kawasan berkenaan mendapat liputan internet yang meluas dengan kekuatan yang stabil.

Menurutnya, daripada 36 menara yang berada di dalam proses pelaksanaan, 21 menara sudah pun memulakan kerja-kerja pembinaan dan 15 menara lagi membabitkan proses memuktamadkan tapak.

“Selain itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga telah berjaya menaiktaraf 127 Stesen Pemancar (4G/LTE) di sekitar parlimen ini dan baki 10 menara yang terletak di daerah Nabawan sedang dalam proses menaiktaraf.

“Melalui inisiatif JENDELA, capaian liputan mudah alih bagi kawasan berpenduduk di Parlimen Pensiangan mencatatkan peningkatan kepada 62.85 peratus bagi suku keempat tahun 2023 berbanding 40.97 peratus pada suku kedua tahun 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan di sini hari ini.

Arthur yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Komunikasi dan juga SKMM yang bertungkus lumus memastikan usaha bagi membantu rakyat mendapatkan kemudahan jaringan internet yang stabil dapat dilaksanakan dengan kadar yang segera.

Katanya, kepentingan teknologi digital menjadi keutamaan Kerajaan kerana peranannya yang telah mengubah hampir setiap aspek kehidupan serba moden masa kini.

“Teknologi digital merevolusi dunia dan mengubah cara kita berkomunikasi, menjalankan perniagaan, dan mengakses maklumat.

“Dari aspek Pertanian, saya percaya pembangunan infrastruktur telekomunikasi di kawasan luar bandar bukan sahaja dapat merendahkan kos urus niaga malahan dapat meningkatkan kecekapan pasaran dan pertumbuhan sektor pertanian.

“Ini kerana barangan pertanian dapat dipasarkan ke luar dari kawasan luar bandar dan pasaran barangan pertanian menjadi lebih luas,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan terus memberikan komitmen bagi membantu memastikan perjalanan inisiatif JENDELA di kawasan itu dapat berjalan dengan lebih lancar.

“Saya menyeru kerjasama semua bagi memudahcara pelaksanaan inisiatif JENDELA agar kita dapat merapatkan lagi jurang kesalinghubungan sebagai persediaan untuk menghadapi masa hadapan yang mendatang,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular