HomeUtamaMTCP : Diplomasi Budaya 2024 kukuhkan hubungan dua hala

MTCP : Diplomasi Budaya 2024 kukuhkan hubungan dua hala

Read Time:1 Minute, 48 Second

Kota Kinabalu : Pelaksanaan Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) : Diplomasi Budaya 2024 dilihat dapat mengukuhkan lagi hubungan dua hala negara melalui persefahaman budaya.

Ketua Pengarah Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) Kementerian Luar Negeri, Datuk Syed Bakri Syed Abdul Rahman berkata, kursus tersebut diadakan bagi berkongsi pengalaman pembangunan Malaysia dengan negara membangun yang lain melalui budaya.

“Sepanjang kursus ini para peserta akan didedahkan dengan modul komprehensif tentang diplomasi dan kepelbagaian budaya di Malaysia meliputi topik utama iaitu Penjenamaan Negara dan Diplomasi Budaya, Kecerdasan Budaya, Bahasa dan Diplomasi, Bahasa Melayu Interaktif untuk Perbualan, Dimensi Budaya dalam Perundingan dan Pengantaraan, Pelaburan di Malaysia serta Kelestarian Minyak Sawit dan Diplomasi Budaya dalam Era Digital.

“Kursus ini turut menekankan tentang aspek perkongsian pengalaman pembangunan Malaysia dengan negara membangun, kepentingan pengukuhan hubungan dua hala antara negara, mempromosikan Kerjasama Selatan-Selatan (SSC) dan meningkatkan Kerjasama Teknikal di kalangan Negara Membangun (TCDC).

“Penganjuran kursus MTCP yang sedang berlangsung ini menunjukkan komitmen Malaysia melalui Kementerian Luar Negeri untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran pembangunan dengan negara membangun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri sesi Taklimat Pembangunan Negeri Sabah yang disampaikan oleh Pengarah Kanan Hal Ehwal Ekonomi, Unit Perancang Ekonomi (EPU) Negeri Sabah, Tseu Kei Yue di Menara Kinabalu, di sini.

Syed Bakri berkata, pemilihan Sabah sebagai salah satu lokasi lawatan adalah bagi memberi pendedahan kepada para peserta tentang kepelbagaian dan keunikan adat, budaya yang terdapat di Sabah serta amalan toleransi kaum yang menjadi contoh kepada pengukuhan perpaduan di Malaysia.

Sepanjang di Sabah para peserta akan didedahkan dengan sesi taklimat bersama Jabatan Perikanan, Pelancongan selain lawatan ke Pulau Manukan, Perkampungan Budaya Mari-Mari, Taman Negara Kinabalu, serta sesi perkongsian maklumat bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Katanya, sesi taklimat daripada EPU tersebut diharap dapat mengukuhkan hubungan kerjasama antara IDFR dan EPU bagi memberi pendedahan kepada para peserta berkenaan dengan ekonomi, diplomasi budaya dan kerjasama yang diamalkan antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri di negara ini.

Seramai 13 peserta daripada 86 permohonan terpilih untuk menyertai kursus yang berlangsung dari 21 hingga 30 Mei tahun inu antaranya daripada negara-negara membangun seperti Algeria, Azerbaijan, Bangladesh, Bosnia dan Herzegovina, Cuba, Fiji, Iraq, Jordan, Maldives, Oman, Filipina, Sri Lanka dan Turkmenistan.

RELATED ARTICLES
Utama

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular