HomeIsu tempatanUMS, DQS Certification meterai hasrat kerjasama pacu pemajuan agenda ESG di Sabah

UMS, DQS Certification meterai hasrat kerjasama pacu pemajuan agenda ESG di Sabah

Read Time:2 Minute, 9 Second

Kota Kinabalu :  Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) telah memeterai satu hasrat kerjasama bersama  DQS Certification (M) Sdn Bhd bagi usaha memacu pemajuan agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) khususnya kepada usahawan-usahawan di negeri Sabah.

Hasrat kerjasama tersebut dimeterai dalam satu majlis menandatangani Surat Niat (LoI) antara kedua-dua pihak yang berlangsung di FPEP, UMS.

UMS diwakili oleh Dekan FPEP, Prof. Madya Dr. Mohd. Rahimie Abd. Karim menandatangani LoI tersebut, manakala DQS diwakili oleh Pengarah Urusan, Danny Ng Kim Yau.

Turut menyaksikan acara tersebut Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor dan Pengurus Besar DQS, Soong Keng Vee.

Terdahulu, Kasim dalam ucapannya berkata, UMS sentiasa bersedia untuk keluar dari zon selesa, bersifat inovatif dari segi kaedah pengajaran, melaksanakan penyelidikan, dan membangunkan bakat terbaik serta sentiasa meneroka jalan dan peluang baharu ke arah kecemerlangan.

“Antara agenda pembangunan yang kritikal dan difokuskan adalah berkait amalan berteraskan ESG yang merupakan mantera global yang menyokong kepada keupayaan kelestarian.

“ESG yang diterima pakai seluruh dunia mencerminkan aspirasi kelestarian organisasi yang mengambil kira impak alam sekitar, sosial dan tadbir urus dalam setiap operasi organisasi, syarikat atau badan swasta.

“Kepatuhan kepada amalan terbaik ESG adalah sebahagian daripada keperluan yang digariskan dalam Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau “UN Agenda for Sustainable Development Goals (SDG)”,” katanya.

Pemeteraian kerjasama tersebut katanya mampu memacu agenda ESG di negeri Sabah khasnya untuk menyokong kepada usaha memberdayakan usahawan-usahawan tempatan ke arah perniagaan yang mampan dan bertanggungjawab.

“Program-program yang berteraskan pemajuan bidang ESG yang direncanakan ini akan memperkayakan pengalaman dan mempertingkatkan ilmu tenaga pengajar dan juga para pelajar yang dilibatkan.

“Dengan demikian, UMS mampu menjadi pusat memberdayakan pemegang taruh yang terkesan secara holistik, ke arah pencapaian komitmen nasional terhadap pelepasan sifar bersih (“net zero emissions”) menjelang tahun 2050, yang semestinya memberi impak yang sebaiknya terhadap kesejahteraan rakyat,” katanya.  

Terdahulu, Rahimie dalam satu kenyataan memaklumkan, kerjasama antara FPEP UMS dan DQS itu antara lain adalah bagi membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dalam persijilan berkaitan inisiatif ESG.

“Kerjasama ini bertujuan untuk meningkatkan keupayaan PMKS di Sabah dalam memenuhi keperluan persijilan ESG yang merupakan satu bentuk keperluan yang perlu dipenuhi oleh PMKS pada masa hadapan.

“Adalah diharapkan usaha sama yang menggabungkan kepakaran dan keupayaan  akademik UMS dan kepakaran industri DQS dalam bidang persijilan industri akan berupaya menghasilkan impak yang signifikan dalam pembangunan PMKS khususnya di Sabah secara berkesan terhadap keperluan komuniti perniagaan setempat,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut turut berlangsung acara penyampaian sumbangan berjumlah RM50,000 daripada DQS kepada Unit Penyelidikan Dan Pembangunan Keusahawanan FPEP.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Sistem solar bantu tingkat kesejahteraan komuniti luar bandar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular