HomeIsu tempatanDBKK lancar piawaian kebersihan dan keteraturan sektor operasi

DBKK lancar piawaian kebersihan dan keteraturan sektor operasi

Read Time:1 Minute, 39 Second

Kota Kinabalu : Piawaian kebersihan dan keteraturan sektor operasi Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang dilancarkan bakal menjadi satu dokumen rujukan utama bagi menetapkan standard kualiti yang perlu dicapai anggota dalam melaksanakan perkhidmatan.

Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Sabin Samitah berkata, ia termasuklah perkhidmatan melibatkan pembersihan awam, pengutipan sampah, pemotongan rumput dan kawalan rumpai, pembersihan tandas dan pasar.

Selain itu katanya, piawaian itu juga merangkumi penguatkuasaan undang-undang kecil DBKK yang merangkumi skop utama bidang tugas sektor operasi.

“Selaras dengan nilai kemampanan dan kesejahteraan Malaysia Madani dan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) di bawah elemen Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau, DBKK memfokuskan usaha ke arah kebersihan dan kesihatan yang mampan dengan berpandukan satu piawaian atau standard bagi mencapai visi dan misi DBKK.

“Saya berharap dengan adanya piawaian ini, seluruh warga kerja DBKK khasnya sektor operasi akan meneruskan komitmen dan lebih berusaha dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik, seterusnya menjadi pemangkin dalam melahirkan bandar raya yang unggul dan bertaraf dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia peringkat Bandaraya Kota Kinabalu di sini semalam.

Sabin berkata, sempena sambutan yang diadakan pada tahun ini, DBKK telah menganjurkan pelbagai acara termasuklah KK Clean up Day 2.0, penanaman 2000 pokok bakau di sepanjang sungai Darau, Karnival Komuniti @ KK, dan pertandingan tandas bersih premis makanan.

Katanya, antara objektif aktiviti yang diadakan adalah untuk meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan menjaga kebersihan dan keceriaan persekitaran serta meningkatkan kesedaran masyarakat dalam membudayakan etika penjagaan tandas awam yang Bersih, Menawan dan Wangi (BMW).

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua premis makanan yang telah menyertai pertandingan tandas premis makanan pada tahun ini, yang dipertandingkan dalam tiga kategori iaitu restoran, kedai kopi dan coffee house.

“Sejumlah 30 premis makanan di seluruh Bandaraya Kota Kinabalu telah disenarai pendekkan bagi penilaian kebersihan tandas. Saya berharap melalui pertandingan ini akan memberikan motivasi dan dorongan kepada premis makanan agar memastikan tandas mereka sentiasa berfungsi dengan baik dan berada dalam keadaan BMW,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO DBKK

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

UMS terima 468 pelajar baharu program asasi, 40 asasi agrisains

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular