HomeIsu tempatanFPSK UMS tingkat kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan penuntut IPT

FPSK UMS tingkat kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan penuntut IPT

Read Time:1 Minute, 41 Second

Kota Kinabalu : Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui One Health Student Club (OHSC) di bawah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) telah mengadakan kolaborasi strategik dengan beberapa agensi sebagai usaha kempen terhadap kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

Kolaborasi bagi penganjuran program ‘Road Safety Awareness Campaign’ anjuran bersama Persatuan Alumni IATSS Forum Jepun, Malaysia (MIFA) yang diadakan di FPSK baru-baru ini turut melibatkan sokongan dari pelbagai agensi antaranya dari Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), pejabat Konsulat Jepun dan Honda Malaysia.

Menurut kenyataan dari OHSC, antara objektif penganjuran program tersebut termasuklah meningkatkan tahap kesedaran para penuntut IPT mengenai kepentingan keselamatan jalan raya, memberikan pengetahuan yang praktikal mengenai langkah-langkah keselamatan, dan menggalakkan amalan bertanggungjawab dalam penggunaan jalan.

“Program ini turut memberikan informasi yang jelas dan ringkas mengenai peraturan lalu lintas, tanda-tanda jalan, dan langkah-langkah keselamatan semasa berjalan kaki atau menggunakan kereta.

“Untuk memastikan objektif program tercapai, pelbagai aktiviti menarik telah diadakan seperti pertandingan TikTok, Explorace dan aktiviti latihan dalam kumpulan,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, Dekan FPSK, Datuk Dr. Mohd. Yusof Hj Ibrahim dalam ucapannya sempena perasmian program tersebut menyatakan sokongan penuh UMS terhadap penganjuran program tersebut.

“Program ini diharap mampu menjadi perintis kepentingan keselamatan jalan raya dalam kalangan masyarakat.

“Ada banyak sebenarnya kepentingan yang boleh diperoleh daripada mempelajari peraturan jalan raya antaranya adalah mengurangi risiko kemalangan jalan yang mungkin boleh berlaku kepada pengguna jalan raya,” jelas beliau.

Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Malaysia IATSS Forum Jepun, Dato’ Zuraidah Atan dalam ucapannya turut menekankan kepentingan sikap tanggungjawab dalam menjaga keselamatan jalan raya terutamanya di peringkat IPT.

“Justeru, adalah diharapkan program seumpama ini mampu melahirkan lebih ramai mahasiswa yang mempunyai kesedaran tentang keselamatan jalan raya serta mampu menjadi penerus kepada legasi kelestarian keselamatan dan kesihatan pengguna jalan raya di Malaysia,” ujarnya.

Seramai 81 orang pelajar daripada lima buah IPT termasuklah UMS, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sabah, Politeknik Kota Kinabalu, Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) KK dan Cyberjaya College Sabah hadir pada program tersebut. – SABAH MEDIA / FOTO UMS

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

UMS terima 468 pelajar baharu program asasi, 40 asasi agrisains

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular