HomeIsu tempatanMaritim Malaysia tahan dua bot tempatan langgar peraturan

Maritim Malaysia tahan dua bot tempatan langgar peraturan

Read Time:1 Minute, 59 Second

Tawau:   Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan dua buah bot tempatan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Kawalan Bekalan 1961 dalam dua tangkapan berasingan sejak kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, dalam operasi yang dijalankan pihaknya berjaya mengesan dan memeriksa sebuah bot nelayan yang sedang menunda pukat berhampiran pantai di sekitar Perairan Tinagat pada jam 11.05 malam kelmarin.

Katanya, pemeriksaan ke atas bot nelayan di kedudukan 1.4 batu nautika tenggara Sungai Apas itu mendapati seorang juragan bersama empat awak-awak lelaki warga Indonesia masing-masing berusia lingkungan 19 hingga 54 tahun memiliki dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang sah.

“Pemeriksaan selanjutnya mendapati bot tersebut telah melanggar syarat sah lesen dengan menjalankan aktiviti menunda pukat di bawah jarak dua batu nautika daripada daratan berdasarkan kedudukan bot tersebut.

“Dalam kes berasingan, sebuah lagi bot penumpang turut ditahan dan diperiksa oleh bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan operasi yang sama di kedudukan 1.6 batu nautika utara Sungai Aji Kuning awal pagi semalam,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Shahrizan berkata, pemeriksaan ke atas bot yang membawa muatan lapan gelen bahan api jenis diesel dan petrol dianggarkan sekitar 200 liter dari Jeti CIQ Tawau menuju ke Pulau Sebatik itu mendapati seorang juragan warga tempatan berusia 35 tahun gagal menunjukkan sebarang permit berkaitan muatan yang dibawa.

Katanya, kedua-dua bot bersama muatan serta kesemua kru bot terbabit seterusnya ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana didapati melanggar syarat sah lesen.

“Kesemua barangan termasuk kedua-dua bot dan muatan disita sehingga proses siasatan selesai dengan nilai rampasan keseluruhan lebih RM185,000,” katanya.

Dalam pada itu, Shahrizan turut meminta kepada komuniti maritim setempat untuk sentiasa lebih peka dengan syarat-syarat lesen yang telah ditetapkan.

Katanya, pihaknya tidak akan berkompromi jika didapati gagal mematuhi syarat sah lesen yang dikeluarkan dan cuba melanggar undang-undang yang telah ditetapkan.

“Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan dan mengoptimumkan pengoperasian bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE).

“Salurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752116 dan talian MERS 999,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

UMS terima 468 pelajar baharu program asasi, 40 asasi agrisains

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular