Kota Kinabalu : Program Rakan Muda menjadi platform terbaik bagi generasi muda untuk mengekspresi bakat.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin berkata, program tersebut menampilkan pelbagai bakat yang ada pada generasi muda antaranya nyanyian, tarian dan sebagainya.
“Program ini tidak hanya terhad kepada bakat dalam lagu-lagu tetapi juga banyak lagi bakat lain yang perlu diterokai dan ternyata memang banyak bakat-bakat yang ada pada belia-belia di Sabah.
“Kita melihat persembahan tadi, ia tidak menggambarkan keseluruhan, ada ramai lagi rakan muda yang masih segan dan malu untuk menunjukkan bakat mereka.
“Oleh itu, saya menyeru semua muda mudi supaya jangan malu-malu untuk menampilkan bakat mereka kerana bakat mereka mungkin berguna untuk diri sendiri dan juga kepada Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Pesta Rakan Muda Mudi di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) di sini, semalam.
Ellron berkata, perbezaan ketara antara program Rakan Muda dulu dan kini adalah peluang untuk menonjolkan bakat pada masa kini lebih mudah.
“Sekarang, banyak program yang diadakan memberi peluang kepada generasi muda untuk mencungkil bakat-bakat mereka berbanding dahulu.
“Oleh itu, saya harap lebih banyak program seperti ini diadakan pada masa akan datang kerana muda mudi zaman sekarang juga lebih terbuka dan ketara dalam menunjukkan bakat mereka,” katanya.
Program berkenaan disertai oleh seramai 562 golongan belia yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah, penuntut Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, kelab dan persatuan belia setempat.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah, Apui Jan, wakil Pesuruhjaya Polis Sabah, Mohd. Azhar Hamin, wakil Pengarah Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR), Jabatan Ketua Menteri, Sabih Desemin dan Penolong Pengarah JKKN, Ishak Abdul Rashid.