Tawau: Program Jiwa Komuniti Madani Merdeka@Komuniti mampu menyalurkan maklumat berkaitan dasar dan program kerajaan kepada rakyat khususnya di kawasan luar bandar.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, program anjuran Jabatan Penerangan (JAPEN) Sabah tersebut amat bertepatan dengan agenda kerajaan supaya maklumat dan informasi mengenai kerajaan sampai ke kawasan luar bandar.
“Ini adalah bertepatan bahawa Program Komuniti Madani ini dibawa ke tempat yang jauh daripada bandar dan sebenarnya inilah yang dimaksudkan bahawa ‘Malaysia Madani Jiwa Merdeka’ kerana ia telah memberi satu rasa kebebasan kemerdekaan bukan sahaja yang tinggal di bandar tetapi yang berada di luar bandar juga dibawa dengan perkara dan agenda kerajaan yang baik.
“Ianya supaya rakyat dapat menerima maklumat dan informasi tentang kerajaan Madani di bawah kepimpinan Perdana Menteri yang cukup prihatin kepada masyarakat luar bandar, kepada orang yang susah dan miskin.
“Perkara ini mesti dimaklumi dan diketahui oleh masyarakat luar bandar bahawa banyak program yang boleh membawa mereka keluar daripada kemiskinan dan sebagainya.
“Ini kerana salah satu misi yang kita dapat lihat sendiri di bawah kepimpinan Perdana Menteri ialah untuk menoktahkan kemiskinan tegar dan alhamdulillah setiap negeri yang ada di Malaysia termasuklah di Sabah telah menyahut seruan ini.
“Program seperti ini bukan sahaja boleh memberi kesedaran tentang peranan kita sebagai rakyat tetapi juga tanggungjawab untuk memastikan kesejahteraan, kemakmuran dan kebebasan serta kemerdekaan dapat kita pertahankan supaya kesinambungan kecemerlangan yang kita kecapi pada hari ini juga dapat dinikmati oleh generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikiam selepas merasmikan Program Jiwa Madani Merdeka@Komuniti dan Simfoni Jiwa Merdeka, di Padang Kampung Inderasabah.
Program dengan kerjasama Komuniti Madani Kampung Inderasabah itu merangkumi sukaneka perpaduan Komuniti Madani serta persembahan Pentarama bagi meraikan Hari Kebangsaan, Hari Sabah dan Hari Malaysia bersama lebih 2,000 orang penduduk kampung dan kawasan sekitar.
Turut hadir dalam program tersebut Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor; Pengerusi Komuniti Madani Kampung Inderasabah, Abit Sulaiman dan Ketua Kampung Inderasabah Safar Uloi.