HomeIsu tempatanYNJ sampaikan sumbangan kepada 100 asnaf di LD

YNJ sampaikan sumbangan kepada 100 asnaf di LD

Read Time:1 Minute, 19 Second

Lahad Datu: Yayasan Nur Jauhar (YNJ) semalam menyampaikan sumbangan kepada 100 orang asnaf sekitar daerah ini.

Penyampaian sumbangan berupa wang tunai itu disempurnakan Isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni pada Majlis Penyerahan Sumbangan YNJ di sini.

Pegawai Daerah Lahad Datu, Firuz Idzualdeen Mohd Dzul berkata, selain meringankan beban golongan asnaf, sumbangan itu juga adalah sebagai motivasi warga pejabat daerah memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat kurang berkemampuan.

“Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan setinggi penghargaan kepada YNJ di atas sumbangan yang akan diberikan, seperti yang kita sedia maklum YNJ sentiasa prihatin dan mengambil berat nasib yang dialami oleh golongan yang tidak berkemampuan dalam memenuhi hasrat pembangunan negeri.

“Kita amat bertuah kerana YNJ sentiasa memastikan kesejahteraan rakyat di negeri ini sentiasa diutamakan tanpa mengambil kira latar belakang kaum, tempat tinggal dan juga fahaman politik.

“Saya percaya dengan penyaluran sumbangan ini sedikit sebanyak akan dapat membantu meringankan beban mereka yang kurang bernasib baik dan secara tidak langsung memberi motivasi dan iltizam kepada kami untuk terus memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat setempat,” katanya.

Para penerima terdiri daripada 50 orang asnaf dan miskin yang dikenalpasti oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Daerah Lahad Datu.

25 orang daripadanya merupakan anak-anak yatim dari Jabatan Kebajikan Masyarakat manakala 25 lagi golongan ibu tunggal dan Orang Kurang Upaya (OKU) yang disenaraikan oleh Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Silam.

Turut hadir, Timbalan Komisioner Penjara merangkap Pengarah Penjara Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Nora Musa, Penolong Setiausaha YNJ, Datin Al Hana Suria Tun Juhar dan Pengerusi Puspanita Daerah Lahad Datu, Farah Riza Azizul Rahman.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

October BIG Day usaha pupuk minat aktiviti memerhati burung

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular